Ad

Saturday 26 December 2015

Gantung atau pulang beraksi untuk Kelantan

KHAMIS, 24 DISEMBER 2015 @ 7:25 AM

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin bhsukan@bh.com.my
 
BEKAS pemain Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim. - Foto Goh Thean Howe KOTA BHARU: Bekas pemain Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim perlu kembali berkhidmat dengan negeri asalnya, Kelantan sebaik saja program itu dibubarkan jika tidak mahu digantung daripada menyertai Liga Malaysia (liga M) musim depan. Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata pemain berusia 22 tahun itu pernah bermain mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera di sini, sebelum berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Sehubungan itu, katanya, pemain berasal dari Tanah Merah itu perlu bermain sekurang-kurangnya satu tahun bersama Kelantan berpandukan Artikel 22, status perpindahan pemain bola sepak Malaysia untuk memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak. "Jika Syahrul gagal berbuat demikian, Jawatankuasa Status Pemain FAM boleh menggantungnya daripada menyertai Liga M musim depan. Buat masa kini, kami daripada jawatankuasa masih tidak dimaklumkan oleh Sekretariat FAM berhubung maklum balas daripada pemain itu.

"Pada masa sama, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) juga akan berdepan dengan tindakan gantung menyertai saingan Liga M musim depan jika mereka tidak membatalkan kontrak yang ditandatangani bekas pemain Harimau Muda itu," katanya ketika dihubungi semalam. Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata andai Syahrul setuju kembali bermain untuk Kelantan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) perlu menaikkan gajinya sebanyak 30 peratus daripada gaji ketika bersama Harimau Muda.

 "Jika KAFA tidak mahu khidmat Syahrul, negeri lain perlu berbincang dan mendapat persetujuan daripada persatuan negeri itu terlebih dahulu. "Jadi, saya nasihatkan FAS supaya ikut peraturan dan saling menghormati antara satu sama lain demi menjaga keharmonian dunia bola sepak," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/107965


No comments:

Post a Comment