SUFIAN HADI SOJAK | 19
Disember 2015 12:05 AM
M. SARAVANAN (enam dari kiri)
dan Tunku Imran Tuanku Jaafar (tujuh dari kiri) bersama penerima anugerah Dewan
Kemasyhuran MOM dalam majlis di Kuala Lumpur kelmarin.
KUALA LUMPUR – Pemegang rekod
100 meter kebangsaan paling lama Tan Sri Dr. M. Jegathesan dinobatkan sebagai
penerima sulung Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, manakala empat skuad juara
Piala Thomas melengkapkan 13 nama untuk diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2015.
Pengiktirafan tertinggi kepada
penggiat sukan tempatan itu diberikan dalam majlis Anugerah dan Makan Malam MOM
yang berlangsung di ibu negara malam semalam sebagai penghargaan di atas
sumbangan besar mereka.
Jegathesan, yang diberi jolokan
The Flying Doctor pernah menjadi pelari terpantas Asia dan memegang rekod
kebangsaan acara 100m dengan masa 10.38 saat pada 1966 yang hanya dipecahkan
oleh Watson Nyambek dalam Sukan Malaysia (Sukma) 1996 di Kuantan, Pahang dengan
catatan 10.31 saat.
“Saya rasa sungguh terharu
kerana pengiktirafan ini merupakan sesuatu yang baharu. Ini agak memeranjatkan
saya sebab MOM mengadakan anugerah ini dan memilih saya sebagai penerima
pertamanya. Saya menyertai bidang sukan sejak sekian lama.
“Ini adalah satu tanda ingatan
untuk saya sepanjang memainkan peranan dalam MOM, iaitu sebagai atlet, ketua
kontinjen, doktor pasukan dan wakil dalam pelbagai badan antarabangsa,” kata
Jegathesan yang juga individu pertama menerima anugerah Olahragawan Negara
pada 1966.
Timbalan Menteri Belia dan
Sukan, Datuk M. Saravanan menyampaikan anugerah dalam majlis itu, yang turut
dihadiri Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.
Sementara itu, skuad juara
Piala Thomas pada 1952, 1955, 1967 dan 1992 adalah antara yang dimasukkan ke
dalam Dewan Kemasyhuran.
Bekas pemain perseorangan dan
bekas jurulatih kebangsaan Rashid Sidek, yang membantu negara meraih kembali
Piala Thomas pada 1992, menyifatkan anugerah tersebut sebagai pengiktirafan
tertinggi.
“Saya rasa bangga dengan
penghormatan sebegini. Kami satu pasukan sudah tentu berasa amat gembira.
Sebelum ini saya pernah dapat anugerah menerusi pencapaian individu. Kali ini
kelainannya saya menerima anugerah secara berpasukan.
“Pencapaian tersebut hadir
daripada semangat dan kerjasama berpasukan. Kalau tanpa (sumbangan) ahli
pasukan lain tentu sukar untuk meraih kemenangan,” katanya.
Selain Rashid, skuad itu turut
dibarisi tiga abangnya iaitu Razif, Jalani dan Rahman. Skuad yang menumpaskan
Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Negara itu turut dianggotai
oleh Foo Kok Keong, Kwan Yoke Meng, Cheah Soon Kit, Soo Beng Kiang serta
Wong Ewe Mun.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/jegathesan-penerima-pertama-8232-anugerah-pencapaian-sepanjang-hayat-1.170363#sthash.9Q1x3Q3e.dpuf
No comments:
Post a Comment