Ad

Sunday, 20 December 2015

Malam gemilang Safiq

Oleh Firdaus Hashim-firdaushashim@hmetro.com.my
 Kuala Lumpur: Juara Piala AFC dan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mendominasi lapan daripada 17 anugerah dipertandingkan pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-TM di Sunway Pyramid Convention Centre, malam tadi.

Paling mencuri tumpuan pastinya ketua pasukan Johor DT, Safiq Rahim yang meraih kejayaan berganda selepas dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai dan Pemain Tengah Terbaik.

Dia juga sebelum ini pernah diangkat selaku Pemain Paling Bernilai ketika skuad Harimau Selatan berjaya membenam tentangan kelab dari Tajikistan FC Istiklol 1-0 pada final Piala AFC, 30 Oktober lalu.

Menurut Safiq, 28, kejayaan terbarunya itu melengkapkan musim gemilang dalam diari hidupnya susulan kejayaan demi kejayaan yang diraih bersama pasukan mahupun secara individu.

“Saya ucapkan terima kasih dengan kejayaan merangkul dua anugerah ini yang sama sekali tidak disangka-sangka.

“Saya anggap ini rezeki dan berjanji akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi sekali gus membantu pasukan (Johor DT) meraih banyak lagi kejuaraan musim depan.

“Tidak lupa juga anugerah ini saya tujukan kepada keluarga dan penyokong yang sentiasa berada di belakang saya selama ini, syukur Alhamdulillah. Ia juga rezeki anak pertama saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kategori Jurulatih Terbaik pula menjadi milik pengendali Harimau Selatan Mario Gomez, Aidil Zafuan (Pemain Pertahanan Terbaik), Farizal Marlias (Penjaga Gol Terbaik), Luciano Figueroa (Pemain Import Terbaik) dan Amri Yahyah (Penyerang Terbaik).

Sementara itu, pemain pertahanan Pahang Matthew Davies meraih Anugerah Pemain Muda Terbaik pada penampilan sulungnya dalam Liga Malaysia musim ini mengatasi pemenang sebelum ini, Farhan Roslan dari Kedah.

Dalam pada itu, Dramane Traore dari PDRM merangkul anugerah Kasut Emas bagi saingan Liga Super dengan ledakan 20 gol manakala Francis Forkey Doe (NS Matrix) mengungguli Liga Perdana dengan 17 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 9:03 AM
 
SAFIQ (dua dari kiri) bersama Farizal (kiri), Aidil (dua dari kanan) dan Matthew.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/101109#sthash.CSJJVFTb.dpuf

No comments:

Post a Comment