Ad

Friday, 11 December 2015

Piala Malaysia milik siapa?

 
SHAHROM (kiri) bersama Khairul Helmi memegang Piala Malaysia yang menjadi rebutan antara pasukan bola sepak Selangor dan Kedah pada sidang akhbar perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam semalam.

SELANGOR akan membuat perhitungan dengan Kedah pada final Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam malam ini.

Kedua-dua pasukan memiliki impian yang sama iaitu mahu menjulang piala berprestij dalam saingan bola sepak tempatan.

Kedah bertekad mengulangi kejayaan pada tahun 2008 yang menyaksikan mereka meranapkan impian Selangor pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan kemenangan 3-2.

Pada tahun tersebut, Kedah yang dibimbing Mohd. Azraai Khor Abdullah meraih tiga gelaran iaitu menjuarai Piala FA, Sumbangsih dan Piala Malaysia.

Sama ada mereka mampu mengulanginya, ia akan terjawab malam ini.

“Misi kami hanya mahu menang dan ia bukan perkara yang mustahil untuk direalisasikan jika semua pemain meneruskan rentak cemerlang,” jelas kapten Kedah, Khairul Helmi Johari semalam.
Menurutnya, mereka bersedia untuk menangguhkan misi Selangor yang memburu kejuaraan buat kali ke-33.

Bagi Selangor pula, tahun ini merupakan peluang terbaik buat mereka melaksanakan ‘Misi 33’ yang tertangguh sejak 2008.

“Aksi final Piala Malaysia tahun ini sebenarnya peluang terbaik untuk menambah koleksi peribadi saya. Sudah tentu saya mahu memenangi Piala Malaysia pada kali ini sekali gus mencapai hasrat Selangor untuk menjulang kejuaraan buat kali ke-33.

“Selain itu, kami juga bertekad untuk menghadiahkan kejayaan kepada Sultan Selangor bersempena Hari Keputeraan baginda hari ini (semalam) dan saya berharap kami dapat melakukannya,” kata penyerang lincah Selangor, Andik Vermansyah ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Shah Alam, semalam.

Begitupun, kedua-dua pasukan sebenarnya memiliki kekuatan tersendiri dan sesiapa yang melakukan kesilapan akan pulang hampa.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3u5HDjvac Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment