Oleh Siti Haliza Yusop shyusop@bh.com.my
Pengkaji kesusasteraan Melayu
tradisional, Dr Harun Mat Piah untuk sastera. - Foto NSTP KUALA LUMPUR: Panel
penyelidik Hang Tuah perlu ditubuhkan untuk mengumpul dan menyusun semula
dokumen yang dapat membuktikan kewujudan wira Melayu berkenaan.
Pengkaji kesusasteraan Melayu
tradisional, Dr Harun Mat Piah, berkata panel itu perlu membabitkan institusi
dan sarjana pengajian Melayu yang berwibawa termasuk Perpustakaan Negara
Malaysia (PNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yayasan Karyawan dan Universiti
Putra Malaysia (UPM), selain badan akademik berkaitan.
"Penubuhan panel itu dapat
menjawab sebarang persoalan yang timbul sama ada bersifat akademik mahupun
provokatif dengan merujuk dokumen yang sudah diterima sebagai mapan, definitif
dan autoritatif. "Ia juga dapat mengelak daripada mengulangi hujah
semata-mata untuk menjawab persoalan yang bukan saja tidak lagi relevan, bahkan
berbahaya dalam perkembangan semasa dan akan datang," katanya dalam
kenyataan di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Karyawan Tamu,
Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Dr Ahmat Adam menafikan kewujudan Hang
Tuah berdasarkan kajian filologinya pada Seminar Wujudkah Hang Tuah? di Jabatan
Sejarah UM di sini. Filologi ialah kajian ke atas bahan bertulis yang biasanya
karya sastera dan penentuan kebenaran atau ketulenan bentuk serta maknanya.
Dalam seminar itu juga, Ahmat
berkata Hang Tuah ialah watak fiksyen yang wujud dalam teks klasik Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah, manakala nama wira itu tidak
wujud pada abad ke-15 dan ke-16, sebaliknya hanya dikesan buat pertama kali
dalam Hikayat Acheh yang ditulis pada hujung abad ke-17.
Harun berkata, adalah
keterlaluan menggunakan kajian filologi semata-mata untuk menentukan kesahihan
terhadap kewujudan pahlawan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka itu, apatah
lagi menganggapnya sebagai dongeng. "Kemahiran Ahmat dalam menguasai ilmu
filologi misalnya dalam analisis akademik terhadap Sulalatus Salatin memang
dianggap cukup hebat dan sangat menyumbang dalam kajian Sastera Melayu.
"Bagaimanapun, tindakan
menghubungkan penemuan dengan penggunaan filologi dalam menentukan kewujudan
Hang Tuah sehingga menganggap keseluruhan peristiwa berkaitannya dongeng,
fiksyen dan tidak berasas, rasanya sedikit keterlaluan," katanya. Beliau
berkata, sebenarnya ramai sarjana sudah memberikan ratusan bukti secara
objektif yang menegaskan kewujudan Hang Tuah, sekali gus penegasan itu tidak sepatutnya
terjejas dengan penafian beberapa individu saja.
"Budaya dan tamadun Melayu
kini diperlekeh pelbagai pihak justeru amat wajar nasionalis, budayawan dan
intelektual Melayu bangkit mempertahankan keagungan serta keperkasaan tamadun
Melayu. "Hal itu janganlah sewenang-wenangnya digugat kerana wahana yang
diguna pakai dalam gugatan itupun masih belum boleh dianggap berwibawa,
konklusif atau definitif," katanya.
SUMBER:
http://www.bharian.com.my/node/105035
No comments:
Post a Comment