Ad

Thursday, 17 December 2015

'Gaji saya tak sampai RM3j'

  Oleh Firdaus Hashim-firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tidak sampai 24 jam selepas Andik Vermansyah (gambar) mengesahkan masih menjadi milik pasukan juara Piala Malaysia, Selangor menerusi perjanjian kontrak baru dua tahun, pemain kelahiran Jember, Indonesia itu dikaitkan pula dengan gaji
RM3 juta untuk tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, Andik tampil menafikan khabar angin itu dan menegaskan nilai sebenar dirinya jauh lebih rendah berbanding apa yang didakwa pihak tertentu.

Dia ternyata kecewa dan hairan mengapa isu itu tiba-tiba sengaja dimainkan sehari selepas mengesahkan masa depannya bersama Selangor.

“Saya tidak tahu mengapa isu itu dibangkitkan dengan mengatakan saya mendapat gaji paling tinggi dalam pasukan Selangor musim depan.

“Secara jujurnya, saya tidak pernah meletakkan harga hingga RM3 juta. Kalau mahu tahu gaji dan elaun saya tidak sampai ratusan ribu, tapi ikut kebiasaan gaji pemain import sekitar RM40,000 ke RM50,000 sebulan saja.

“Justeru, saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu kerana secara tidak langsung memberikan imej tidak baik selain boleh menimbulkan rasa cemburu rakan sepasukan.

“Bukan itu saja, malah keluarga saya di Indonesia juga ketika ini dalam ketakutan kerana isu itu boleh mengundang perkara negatif,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Andik, 24, yang menyertai Red Giants sejak dua musim lalu, mengesahkan sudah menandatangani kontrak baru sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu, sekali gus menamatkan spekulasi dia akan meninggalkan pasukan itu.

“Saya bukan bintang atau pemain yang meletakkan harga tinggi. Sebaliknya cuma pemain biasa yang sangat sayangkan pasukan ini.

“Saya amat gembira dan selesa berada di sini (Selangor) dan mahu membantu pasukan mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 9:44 AM
 

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/100646#sthash.KgxkLEgh.dpuf

No comments:

Post a Comment