Oleh FARID AHMAD TARMIJI
Foto MD. SHAHJEHAN MAAMIN
Hashim (kanan) berbincang
dengan Rohaidah mengenai catatan dokumen yang membuktikan kewujudan Hang Tuah.
MASYHUR dengan sumpah keramat,
Takkan Melayu Hilang Di Dunia, laungan Laksamana Hang Tuah itu memberi kesan
mendalam terhadap bangsanya.
Personaliti Hang Tuah
digambarkan sebagai seorang yang berdiplomasi tinggi, berani dan tangkas serta
boleh menguasai 12 bahasa. Ciri-ciri ini menyebabkan beliau diangkat sebagai
pahlawan Melayu yang disanjung sehingga kini.
Masyarakat Malaysia membesar
dengan kisah Hang Tuah apabila cerita mengenainya dimuatkan dalam buku teks
selain penghasilan dua buah karya agung lain iaitu Hikayat Hang Tuah dan
Sulalat Al-Salitin atau Sejarah Melayu yang menceritakan mengenai kewujudan
pahlawan Melayu tersebut.
Pedagang
Cerita mengenai Hang Tuah juga
diangkat ke layar perak oleh beberapa penerbit filem. Namun, isu yang
dibangkitkan oleh sesetengah pihak berhubung kewujudan Hang Tuah telah
mendorong dua ahli akademik Universiti Putra Malaysia dari Jabatan Bahasa
Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa
dan pensyarah kanan, Dr. Rohaidah Kamaruddin menghasilkan buku, Hang Tuah:
Catatan Okinawa.
Buku itu mengupas tentang
hakikat kewujudan Hang Tuah atau sekadar watak dongeng hasil kreatif sasterawan
Melayu tradisional yang melambangkan keagungan Kerajaan Melayu Melaka pada abad
ke-15.
Hashim memberitahu, sebelum
buku itu ditulis pada November tahun lalu, beliau terlebih dahulu mengkaji
tentang seni bina kapal perdagangan lama pada era kegemilangan kerajaan Melaka.
“Saya mengkaji mengenai kapal
Mendam Berahi yang pernah digunakan kerajaan Melaka pada masa itu melalui buku
Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Saya yakin masyarakat Melayu dahulu
merupakan pedagang maritim yang hebat kerana Melaka pernah menjadi bandar utama
pusat maritim,” katanya.
Beliau kemudiannya menemu bual
Pengerusi Yayasan Karyawan Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid untuk
membincangkan mengenai kapal tersebut kerana beliau mempunyai lukisan kapal
itu. “Ahmad Sarji ada menceritakan mengenai Hang Tuah sewaktu perbincangan
tersebut kerana beliau pernah menulis buku mengenainya. Dalam perbincangan
tersebut beliau ada menyebut mengenai dokumen tentang kerajaan Melaka yang
melibatkan Hang Tuah berada di sebuah muzium di Okinawa, Jepun,” jelasnya.
Ahmad Sarji menyatakan, beliau
mengetahui mengenai kewujudan dokumen itu daripada perwakilan dari Jepun.
Selepas mengetahui kewujudan dokumen itu, Hashim telah meminta bantuan Rohaidah
menghubungi pegawai Kementerian Pendidikan di Jepun untuk mendapatkan maklumat
mengenai dokumen tersebut.
Dokumen
Urusan untuk mendapatkan
dokumen itu agak mudah kerana Rohaidah fasih bertutur bahasa Jepun dan beberapa
salinan itu telah dihantar melalui e-mel kepada kami.
“Bagi memudahkan kajian
mengenai kewujudan Hang Tuah itu, Rohaidah sendiri telah pergi ke Okinawa untuk
mendapatkan maklumat terperinci mengenai kandungan dokumen tersebut dan melihat
beberapa artifak penting yang boleh menjadi bukti dalam penulisan buku ini,”
jelasnya.
Bukti yang mengatakan Hang Tuah
pernah ke Ryukyu atau kini dikenali sebagai Okinawa terkandung dalam catatan
rasmi dokumen Rekidai Hoan.
Dokumen Rekidai Hoan ditulis
dalam bahasa Cina yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Atushu
Kobata dan Mitsugi Matsada yang diterbitkan pada 1969. Ia menjadi bukti baharu
dalam bentuk primer tentang kewujudan Hang Tuah.
Catatan rasmi
Hashim berkata, Rekidai Hoan
merupakan catatan rasmi mengenai empayar kerajaan Ryukyu di Jepun suatu masa
dahulu. Catatan Rekidai Hoan ada menceritakan mengenai hubungan antara kerajaan
Ryukyu dengan Korea dan negara-negara di Asia Tenggara. Di dalam dokumen
tersebut ada satu bahagian yang mendedahkan hubungan antara kerajaan Ryukyu
dengan Kesultanan Melayu Melaka.
Terdapat sekurang-kurangnya 19
surat daripada kerajaan Ryukyu kepada Melaka dan 11 surat lagi dari Melaka
kepada Ryukyu.
‘‘Namun daripada kesemua surat
itu hanya tiga surat dari Melaka yang diutuskan pada tahun 1480 dan 1481
mempunyai kaitan secara langsung dengan Laksamana Hang Tuah” jelasnya.
Surat bertarikh 11 April 1480
dipercayai ditulis oleh Hang Tuah bagi pihak Sultan Melaka, Sultan Alauddin
Riayat Shah yang dikatakan baru berumur enam tahun ketika itu.
Dalam kandungan surat tersebut
ada menyebut Lo-hsi-ma-na dari Melaka dengan sepenuh takzim mempersembahkan
perutusan ini Ke Bawah Duli Raja negeri Ryukyu.
“Selepas diselaraskan dengan
sejarah Melayu pada ketika itu Sultan Alauddin Riayat Shah masih kanak-kanak
dan yang menjaganya adalah Bendahara dan Laksamana Hang Tuah.
“Kandungan surat itu merupakan
salah satu bukti yang berhubung kait dan selaras dengan sejarah Melayu dan saya
yakin surat itu memang diutuskan oleh Hang Tuah yang ketika itu bertindak
sebagai Laksamana Melaka,” katanya.
Menurut Hashim, buku itu
dihasilkan bagi membuktikan kewujudan Hang Tuah berdasarkan bukti primer daripada
sumber asing yang belum didedahkan kepada masyarakat negara ini.
Bagi membuktikan sesuatu watak
itu wujud dalam sejarah, sumber utama atau sumber sahih yang sezaman dengan
watak itu harus ditemui dan dipaparkan dengan jelas.
“Kandungan dokumen Rekidai Hoan
selaras dengan sumber kedua iaitu catatan Sejarah Melayu dan Hikayat Hang
Tuah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rohaidah
berhasrat untuk mendedahkan dan terus mencari bukti tentang kewujudan Hang Tuah
dalam sejarah negara yang pernah menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan
Kesultanan Melayu Melaka.
Geran
“Kesultanan Melayu Melaka
dahulu sememangnya sebuah empayar kerajaan yang hebat dan pernah menjalinkan
hubungan diplomatik dengan negara seperti China, India dan Kemboja.
“Mungkin dalam mengkaji
hubungan diplomatik ini kita boleh menemui maklumat baharu mengenai kewujudan
Hang Tuah. Kini saya sedang menunggu satu lagi salinan dari Kyushu, Jepun yang
menceritakan mengenai pergaduhan antara Hang Tuah dengan Samurai Jepun yang
berlaku di Kemboja,” jelasnya.
Rohaidah menjelaskan, antara
cabaran untuk menyiapkan buku tersebut ialah tiada geran bantuan daripada
mana-mana pihak.
“Kami pernah memohon geran
daripada pihak tertentu untuk melakukan kajian ini, namun ia tidak dilayan.
Untuk ke Okinawa saya terpaksa mengeluarkan kos sendiri dan hanya tidur di
lapangan terbang sebelum pulang ke Malaysia.
“Saya berharap jika ada ada
pihak yang memohon untuk melakukan kajian untuk mengangkat martabat Melayu,
bantulah mereka kerana menghasilkan buku akademik merupakan satu fisabilillah,”
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3ub3inuNJ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment