SAFIQ (kiri) dan Amri antara
dua pemain Johor DT yang menjadi pilihan untuk menerima anugerah Pemain Tengah
dan Penyerang Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan malam ini.
PASUKAN gergasi dari selatan
tanah air, Johor Darul Takzim (Johor DT) hampir memiliki sekurang-kurang satu
calon dalam setiap kategori yang ditawarkan sempena Anugerah Bola Sepak
Kebangsaan (ABSK) 2015 anjuran 100Plus dan Telekom Malaysia yang bakal
berlangsung di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya malam ini.
Setelah mendominasi arena bola
sepak tempatan apabila memenangi Liga Super untuk tahun kedua berturut-turut,
pasukan Harimau Selatan itu turut mencatat satu lagi sejarah tersendiri selepas
membenam kelab Tajikstan, FC Istiklol pada final Piala AFC 2015.
Pemain tengah berpengaruh,
Safiq Rahim yang berjaya memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam
kempen Piala AFC turut tersenarai dalam kategori Pemain Tengah Terbaik tahun
ini.
Sebagai rekod, kapten pasukan
kebangsaan itu telah memenangi anugerah itu pada 2011 dan 2012 ketika beraksi
bersama Selangor.
Pemain lain yang turut
tersenarai untuk anugerah ini termasuk Baddrol Bakthiar (Kedah) dan Hafiz
Kamal (Pahang).
“Johor DT adalah pasukan yang
sangat digeruni pada musim ini dan kami tidak sabar untuk melihat siapa yang
bakal merangkul semua anugerah yang ditawarkan.
“Saingan Liga Malaysia
menunjukkan persaingan sihat sejak beberapa tahun ini kerana tiada pasukan
yang berjaya mendominasi liga dalam tempoh yang lama.
“Ia merupakan perkembangan
positif untuk bola sepak negara,” kata Pengurus Hal Ehwal Korporat, F&N
Beverages Marketing Sdn. Bhd., Cariessa Goh dalam satu kenyataan semalam.
Selain pasukan Harimau Selatan
yang unggul menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Super, pasukan jemputan dari
Singapura, Lions XII berjaya memenangi Piala FA setelah menewaskan gergasi
Pantai Timur, Kelantan.
Kemudian, sejarah baharu telah
tercipta apabila Selangor melengkapkan ‘Misi 33’ dengan kejayaan merangkul
Piala Malaysia selepas menumpaskan jaguh dari utara tanah air, Kedah 2-0 pada
perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
Wira Selangor, Ahmad Hazwan
Bakri yang menjaringkan dua gol pada final tersebut telah tersenarai untuk
kategori Penyerang Terbaik bersama dua wakil Johor DT, Mohd. Amri Yahyah dan
Safee Sali.
Safee yang pernah beraksi
dengan kelab Indonesia, Pelita Jaya itu belum pernah memenangi anugerah
tersebut.
namun, Amri pernah merangkul
anugerah Pemain Tengah Terbaik pada tahun 2009 ketika bersama pasukan Gergasi
Merah.
Sementara itu, penjaga gol
Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dalam misi untuk merampas kembali status
penjaga gol terbaik kebangsaan selepas merangkul anugerah tersebut empat kali
berturut-turut sejak 2010 sebelum penjaga gol Pahang, Khairul Azhan memenanginya
pada edisi lalu.
Seorang lagi calon yang
tersenarai adalah penjaga gol nombor satu Johor DT, Farizal Marlias yang pernah
memenangi anugerah itu sewaktu berbakti untuk Perlis pada tahun 2009.
Bagaimanapun, pasukan kendalian
Mario Gomez itu tiada wakil untuk kategori Pemain Harapan yang mana hanya
menyenaraikan bintang sayap Kedah, Farhan Roslan, Mathew Davies (Pahang) dan
pemain tengah Selangor, Mohd. Nazmi Faiz Mansor sebagai calon pada tahun ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3ucXjxw48
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment