Ad

Saturday, 12 December 2015

Hazwan wira misi 33

Oleh Aziman Rosdi dan Firdaus Hashim & Ferzalfie Fauzi
sukan@hmetro.com.my
SELANGOR menyempurnakan misi 33 apabila menjuarai Piala Malaysia selepas menumpaskan Kedah, 2-0, dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Pasukan bimbingan Mehmet Durakovic tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Ahmad Hazwan Bakri menolak masuk bola ke dalam gawang selepas menerima hantaran dari Guilherme De Paula pada minit ketiga.

Tersentak dengan jaringan awal Selangor, Kedah cuba untuk mencari gol penyamaan namun percubaan pemain import mereka, Sandro Da Silva berjaya diselamatkan penjaga gol, Norazlan Razali.

Sebelum perlawanan separuh masa pertama tamat pertahanan kanan Kedah, Mohd Rizal Ghazali melakukan percubaan dari luar petak penalti namun sekali lagi Norazlan bertindak cemerlang menepis bola keluar.

Gergasi Merah menambah gol kedua apabila Hazwan merembat masuk hantaran De Paula pada minit ke-48.

Kedah mempunyai peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-68 selepas Chidi Edeh melakukan hantaran cantik kepada Da Silva namun percubaannya dari dalam petak penalti diselamatkan Norazlan.

Pada minit ke-82, Kedah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila penjaga gol, Mohd Firdaus Mohamed dilayangkan kad merah selepas menampan percubaan S Veenod di luar petak penalti.

Penjaga gol simpanan Kedah, Mohd Shazwan Abdullah dimasukkan untuk menggantikan pemain sayap kiri, Mohd Syazwan Zainon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 11:12 PM
 
AHMAD Hazwan Bakri dikerumuni rakan sepasukan. Dia ledak dua gol pada final Piala Malaysia 2015, di Stadium Shah Alam. FOTO Osman Adnan

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/99801#sthash.aWeADKf4.dpuf

No comments:

Post a Comment