Ad

Sunday, 20 December 2015

Safiq intai layak ke Piala Asia


 
PARA pemenang ABSK 2015 bergambar kenangan dengan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah (tujuh dari kiri) dan Naib Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad (lapan dari kiri) di Petaling Jaya kelmarin.

PIALA Asia 2019 menjadi sasaran kapten skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim walaupun dia menyedari tugas tersebut mungkin sukar untuk dicapai.

Namun katanya, jika skuad negara tampil dengan semangat serta keazaman baharu, ia tidak mustahil untuk direalisasikan.

Perjuangan untuk memburu tempat ke Piala Dunia 2019 sudah berkubur, namun mereka tetap menaruh harapan untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriyah Arab Bersatu nanti.

Skuad negara masih ada baki satu perlawanan untuk diharungi pada kempen kelayakan peringkat Kumpulan A iaitu menentang Arab Saudi di tempat lawan pada 24 Mac tahun depan.

Jika menang, peluang untuk menduduki tempat ketiga kumpulan lebih cerah dengan syarat pencabar terdekat, Palestin tewas perlawanan terakhir mereka nanti.

Pasukan yang menduduki tempat ketiga terbaik setiap kumpulan berpeluang untuk melayakkan diri.

“Saya harap dapat membantu Malaysia layak ke Piala Asia atau meningkatkan bola sepak negara pada kedudukan terbaik sebelum menamatkan karier sebagai pemain,” jelas Safiq ketika ditemui selepas dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 (ABSK) di Pusat Konvensyen Sunway, Petaling Jaya malam kelmarin.

Safiq, 28, yang juga kapten pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) mengakui, beliau sudah mengecapi pelbagai kejayaan selaku pemain bersama pasukannya serta skuad kebangsaan, namun belum pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia.

Dalam perkembangan pada itu, anak kelahiran Kuala Selangor itu menjelaskan keputusannya menyambung kontrak bersama Johor DT sehingga 2019 disebabkan pengurusan yang mantap terutamanya kebajikan pemain yang sentiasa diutamakan selain semangat kekeluargaan yang terjalin dalam pasukan berkenaan.

Untuk rekod, Safiq menyertai Johor DT dari Selangor pada musim 2013.

Mengulas mengenai dua anugerah yang dimenanginya, Safiq menyifatkan ia sebagai pendorong semangat untuk mengecapi lebih banyak kejayaan bersama Johor DT pada musim depan.

“Bagi saya, ini rezeki untuk diri sendiri, isteri serta anak sulung kami. Banyak kenangan manis yang dicipta bersama Johor DT.

“Tidak lupa juga kepada keluarga Johor DT (pemain serta pengurusan pasukan) dan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang banyak membantu saya selama ini,” kata Safiq.

Pada ABSK tahun ini, selain dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai, Safiq turut menerima anugerah Pemain Tengah Terbaik.

Sementara itu, pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar yang dicalonkan dalam kategori Pemain Tengah Terbaik menetapkan sasaran untuk membantu skuad Helang Merah berada dalam kelompok lima pasukan terbaik saingan Liga Super 2016.

Kedah naik ke Liga Super musim depan selepas menjuarai Liga Premier musim ini.

“Kami perlukan satu komitmen yang tinggi kerana saingan Liga Super memang sukar dan tahapnya juga lain,” kata anak jati Sungai Petani itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3uqWdIKoO Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment