Makam yang terletak di Tanjung
Kling, Melaka dipercayai makam Hang Tuah.
PEMERINTAHAN Kesultanan Melaka
telah berakhir kira-kira lima dekad yang lalu. Namun, di sebalik kegemilangan
pemerintahan empayar Kesultanan Melaka terdapat seorang pahlawan legenda iaitu
Laksamana Hang Tuah yang setia menjadi pelindung kepada raja di samping
mempertahankan dan menjaga kedaulatan bumi berdaulat Melaka ketika itu.
Berdasarkan catatan dalam
Hikayat Hang Tuah, pahlawan legenda yang berasal daripada masyarakat biasa itu
diangkat menjadi laksamana kerana kesetiaannya menjaga raja Melaka.
Beliau dikatakan seorang
diplomat ulung kerana pernah menjadi wakil kerajaan Melaka dalam menjalinkan
hubungan diplomatik dengan beberapa negara luar seperti Jepun, China, Turki dan
India.
Profesor Jabatan Bahasa Melayu,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof.
Emeritus Dr. Hashim Musa berkata, amat penting untuk mengabadikan kewujudan
Hang Tuah sebagai wira Melayu dan ia bukan satu cerita dongeng.
Menurutnya, bukti mengenai
kewujudan Hang Tuah perlu ditonjolkan agar ia tidak tenggelam dalam lipatan
sejarah.
“Hang Tuah merupakan seorang
wira kerana dia adalah lambang sifat orang Melayu dengan ciri-ciri
kepahlawanan, berani, setia dan taat kepada raja dan berdiplomasi tinggi.
“Beliau juga seorang yang
berilmu pengetahuan dan mampu menguasai hampir 12 bahasa dan ciri-ciri yang ada
padanya telah menjadikannya sebagai seorang wira bangsa Melayu,” jelasnya
ketika ditemui.
Jika tiada pihak yang mengambil
inisiatif untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah ini mungkin generasi masa
hadapan tidak akan kenal dengan wira bangsa sendiri.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan
Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Dr. Arbaiyah Mohd. Noor berkata, kisah Hang
Tuah sebagai simbol atau lambang kehebatan bangsa Melayu telah diketahui sejak
dahulu lagi sama ada melalui teks Sejarah Melayu atau Hikayat Hang Tuah atau
tradisi lisan.
Kehebatan
“Saya tidak nafikan sesetengah
daripada keterangan tentang Hang Tuah ditokok tambah. Tujuannya untuk
menggambarkan kegagahan dan kehebatan beliau sebagai pahlawan Melaka atau untuk
membakar semangat juang yang telah luntur akibat kejatuhan kerajaan Melaka pada
1511.
“Walau apapun kisahnya dipapar
atau dipertikaikan, sosok tubuh lelaki yang digelar sebagai Laksamana Melaka
itu memang wujud.
“Cuma yang menjadi pertikaian
sejak akhir-akhir ini adalah istilah atau ungkapan nama atau gelaran Tuah yang
dikatakan tiada dalam perbendaharaan kata Melayu lama sebelum abad ke-17. Huruf
t-w-h yang tertulis dalam Sejarah Melayu itu akhirnya dibaca sebagai Tuha atau
Toh. “Maksud Tuha atau Toh berasal daripada istilah Jawa kuno (kawi) dan juga
istilah Melayu kuno merujuk kepada maksud pemimpin yang berketrampilan unggul
dan sebagainya,” katanya.
Apa yang menjadi tanda tanya
ialah sejauh manakah kita dapat mengenal pasti bahawa istilah Tuah tidak pernah
wujud sebelum abad ke-17? Adakah benar masyarakat silam menyebut istilah t-w-h
merujuk kepada Tuha atau Toh?
“Sejarah Melayu (Leiden Or1736,
versi Dewan Bahasa Pustaka dan versi Krusenstern) menggunakan istilah t-w-h
(Toh), Sulalat’us- Salatin versi Siak (Or7304) pula menggunakan kedua-dua
istilah iaitu t-w-h (Toh) dan t-w-a-h (Tuah). Tuhfat al-Nafis versi Terengganu
pula menggunakan istilah t-w-a-h (Tuah) ketika menceritakan tentang kehebatan
Laksamana Melaka ini.
“Walaupun penyalin atau
pengarang menggunakan istilah Toh atau Tuah atau kedua-duanya sekali, mereka
merujuk kepada individu yang sama. Mereka yang meletakkan huruf alif setelah
huruf waw pada istilah t-w-h adalah kerana pengetahuan mereka terhadap nama
Tuah berdasarkan cerita lisan walaupun huruf alif tiada dalam rujukan asalnya,
“Perbezaan istilah bukan hanya
melibatkan istilah t-w-h sahaja tetapi banyak istilah lain dalam teks Sejarah
Melayu atau manuskrip yang lain. Misalnya, istilah Goa yang dieja dalam tiga
keadaan iaitu kh/gh-w-h (Goh), gh-w-a (Goa), kh/gh-w-a-h (Goah) dalam kisah
hubungan Melaka dan Sulawesi seperti tertera dalam teks Sejarah Melayu.
Ketiga-tiga istilah ini tetap merujuk kepada Raja Goa yang sama walaupun dieja
dalam tiga keadaan berbeza. Hal ini berlaku mungkin disebabkan pengarang atau
penyalin sama ada sedar atau tidak telah menambah atau mengurangi ejaan
tertentu,” katanya.
Demi menjaga kekemasan pada
naskhah itu, maka istilah tersebut dibiarkan sahaja.
“Telah menjadi tradisi apabila
suatu kesilapan itu dilakukan, pengarang atau penyalin akan membiarkan sahaja
tanpa memperbaikinya kerana bimbang akan merosakkan naskhah tersebut.
“Walaupun terdapat perbezaan
pandangan mengenai sebutan Hang Toh, Hang Tuha atau Hang Tuah, namun ia tetap
merujuk kepada tokoh yang sama,” jelas beliau.
Fakta
Perbezaan tafsiran pada istilah
kerap berlaku antara seorang sarjana dengan sarjana yang lain kerana
masing-masing mempunyai sudut pandang yang berbeza. Namun, pertikaian mengenai
istilah ini tidak wajar diperbesar-besarkan, sebaliknya fokus utama ialah untuk
mencari, mengumpul dan membuat kaji banding demi mengukuhkan keterangan
mengenai kewujudan Hang Tuah.
Dalam pada itu, Pengerusi
Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (ISKEP), Prof Datuk Dr. Mohd.
Jamil Mukmin berkata, penemuan baharu oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia
(UPM) mengenai kewujudan Hang Tuah telah menguatkan lagi satu fakta bahawa
kewujudan laksamana itu bukanlah satu mitos.
“Sebelum ini kewujudan Hang
Tuah ini telah lama dibuktikan melalui sumber Melayu seperti Hikayat Hang Tuah
dan Sejarah Melayu dan penemuan baharu ini dapat menyangkal dakwaan sesetengah
ahli sejarah yang mengatakan ia hanyalah satu cerita dongeng,” katanya dalam
satu bicara temu bual baru baru ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3ucykznyP
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment