Ad

Monday 21 December 2015

Safiq ketuai JDT dominasi anugerah

MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI  |  19 Disember 2015 12:05 AM
SAFIQ RAHIM (dua dari kanan) menerima trofi Pemain Paling Bernilai
SAFIQ RAHIM (dua dari kanan) menerima trofi Pemain Paling Bernilai daripada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah dalam majlis Anugerah Bola Sepak Malaysia sambil disaksikan Naib Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad (dua dari kiri) di Petaling Jaya semalam. utusan/Mohd. Shaharani Saibi
KUALA LUMPUR - Pemain tengah kebangsaan Safiq Rahim dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai untuk mengetuai Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi lapan daripada 17 anugerah dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 di Pe­taling Jaya semalam.
Ketua pasukan JDT itu turut memenangi anugerah Pemain Te­ngah Terbaik, menewaskan Baddrol Bakhtiar dari Kedah dan bekas pemain Pahang, Hafiz Kamal.
Safiq yang agak terkejut dengan pemilihannya bagaimanapun me­ngakui tahun ini merupakan musim terbaik dalam kerjaya sebagai pemain bola sepak.
“Alhamdullilah... saya anggap anugerah yang diperoleh ini sebagai rezeki dan bersyukur dengan kejayaan yang diraih sepanjang musim ini tidak kira dalam Liga Malaysia atau Piala AFC.
“Kejayaan ini tidak mampu diraih tanpa sokongan daripada rakan sepasukan, pihak pengurusan, pe­minat dan keluarga saya yang sentiasa menjadi tulang belakang saya dengan tidak putus asa memberi dorongan dan kata-kata semangat.
“Penghargaan yang diberi ini akan menjadi motivasi dan batu loncatan untuk saya memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan mutu permainan serta dapat memberi lebih banyak lagi sumbangan kepada pasukan (JDT) dan juga negara,” katanya yang telah menandatangani kontrak lanjutan dua tahun bersama Harimau Selatan.
Safiq memainkan peranan besar dalam JDT musim ini apabila menge­tuai Harimau Selatan menjuarai Liga Super manakala aksinya sepanjang membantu skuadnya dalam laluan mereka muncul juara Piala AFC membuatkan dia dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai kejohanan itu.
Kejuaraan berganda dan memahat sejarah sebagai pasukan pertama dari Asia Tenggara menjulang Piala AFC pula menyaksikan JDT mendominasi majlis anugerah semalam apabila mereka meraih enam anugerah utama lain.
Mario Gomez dipilih sebagai jurulatih terbaik, menewaskan Tan Cheng Hoe (Kedah) dan Zainal Abidin Hassan (Pahang) manakala Amri Yahyah mengetepikan persaingan rakan sepasukan Safee Sali dan Ahmad Hazwan Bakri (Selangor) untuk muncul Penyerang Terbaik.
Anugerah Pertahanan Terbaik menjadi milik Aidil Zafuan Abdul Razak, menewaskan Shukor Adan (Felda United) dan Razman Roslan (Pahang) manakala Farizal Marlias mengalahkan Khairul Azhan Khalid (Pahang) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) untuk muncul sebagai Penjaga Gol Terbaik.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-ketuai-jdt-dominasi-anugerah-1.170374#sthash.3RsB9oVK.dpuf

No comments:

Post a Comment