25 Disember
2015 6:20 PM
DI atas batu
besar inilah kumpulan lanun gemar menyabung ayam sehingga timbulnya nama
Penyabong.
KISAH di
Mersing juga berkait rapat dengan kewujudan sebuah perkampungan nelayan yang
dinamakan Penyabong. Perkampungan ini terletak kira-kira 20 kilometer dari
bandar Mersing dan lima kilometer dari pekan Endau.
Penyabong
terkenal dengan pantai Pasir Lanun yang mempunyai kisah di sebalik namanya. Menurut
cerita orang kampung, asal nama Penyabong timbul ketika kumpulan lanun di Laut
China Selatan pada kurun ke-19 menjadikan kawasan di situ sebagai tempat
persinggahan mereka.
Laut China
Selatan ketika itu merupakan laluan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan dari
Pantai Timur ke Singapura serta dari China.
Maka
lanun-lanun yang berada di sekitar laluan itu sering menjadikan pantai di
sekitar Mersing sebagai tempat perlindungan dan mengatur strategi serangan ke
atas kapal-kapal pedagang. Bagi mengisi masa lapang, kumpulan lanun itu sering
mengadakan aktiviti sabung ayam.
Kerana itu,
pantai itu akhirnya diberi nama Penyabong. Malah, terdapat sebuah batu besar di
tepi pantai Penyabong yang dikatakan menjadi tempat lanun-lanun itu bermain
sabung ayam. Batu itu masih wujud sehingga ke hari ini.
Menurut
Ketua Kampung Mukim Penyabong, Wan Azman Wan Jusoh, pantai Pasir Lanun yang
terletak di Kampung Penyabong itu pula mendapat nama apabila kawasan itu sering
menjadi tumpuan lanun-lanun dari sekitar Laut China Selatan untuk berehat.
“Pernah
terjadi pergaduhan antara kumpulan-kumpulan lanun yang singgah di Penyabong.
Mereka berebut untuk mengambil bekalan air sehingga menyebabkan pergaduhan
berlaku. Malah, peperangan antara lanun dan kapal-kapal pedagang juga pernah
berlaku di sini,” katanya kepada S2.
Wan Azman
berkata, Penyabong asalnya dihuni oleh beberapa nelayan yang menjadikan tempat
itu sebagai pangkalan untuk menangkap ikan sejak dahulu lagi. Sehingga ke hari
ini, aktiviti nelayan dan menangkap merupakan hasil pendapatan utama bagi
penduduk di situ.
“Ketika
Penyabong mula dihuni, terdapat beberapa lagi kampung yang wujud berdekatan
seperti Tanjung Resang, Teluk Sari dan Kampung Sisik. Kesemuanya mempunyai
kisah tersendiri bagaimana ia mula diduduki,” katanya.
Katanya,
menurut cerita orang-orang tua, Tanjung Resang dibuka oleh seorang individu
yang berasal dari Terengganu dikenali sebagai Pak Lah. Ketika itu katanya, Pak
Lah yang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan perahu payang singgah di
suatu kawasan untuk berlindung daripada ribut.
“Pada masa
itu, dia berteduh di bawah pokok Resam. Kebetulan, kawasan itu merupakan sebuah
tanjung. Jadi, mengikut loghat Terengganu, dia memanggil tempat itu Tanjung
Resang,” katanya.
Kemudian,
tempat itu mula didatangi orang-orang berasal dari Terengganu yang terus
menetap di situ. Manakala, asal kewujudan Kampung Sisik pula diambil sempena
seekor Penyu Sisik yang mendarat di pantai dekat situ untuk bertelur.
Menurut
cerita juga, kewujudan Teluk Sari pula ekoran kisah bagaimana seseorang perlu
mengambil masa sehari suntuk dan bermalam di situ sebelum sampai ke destinasi
sama ada ke Mersing atau Endau.
Katanya,
kini, aktiviti pelancongan menjadi tarikan utama di Penyabong apabila semakin
banyak chalet-chalet dan resort yang menarik dibuka dan ditawar pada harga
berpatutan, selain wujudnya perusahaan kecil dan sederhana memproses makanan
laut dan juga gerai-gerai makanan tradisi masyarakat setempat seperti nasi
dagang, keropok lekor, sata, kuih-muih dan banyak lagi.
Selain itu,
kata Wan Azman, ada juga penduduk tempatan mengusahakan kelong di pesisir
pantai Penyabong. Terdapat beberapa pulau berdekatan Penyabong antaranya Pulau
Acheh, Pelandok dan Pulau Tengah.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/penyabong-tempat-persinggahan-lanun-1.172817#sthash.cetCcJpT.dpuf
No comments:
Post a Comment