Ad

Friday, 25 December 2015

Mat Sentol nafi hidup melarat


20 Disember 2015 12:41 PM
SHAH ALAM 20 Dis.- Pelakon veteran era tahun 1960-an, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya, 82, menafikan kehidupannya kini melarat.
Jelas pelakon ini yang terkenal melalui filem Mat Bond, apa yang viral di laman sosial baru-baru ini juga tidak menggambarkan kehidupan terkininya.
“Saya tidak tahu kenapa orang itu berkata demikian, mungkin dia tidak pernah melihat orang berjalan seorang.
“Kehidupan dan kesihatan saya baik sahaja,” katanya ketika ditemui dalam Malam Apresiasi Artis Sepanjang Zaman anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama RTM di sini semalam.
Sementara itu turut menyokong kenyataan pelakon itu ialah anaknya, Rosdin, 50, bahawa ayahnya masih tinggal bersama isteri dan adik-beradiknya yang lain di Johor Baharu.
“Mungkin ada yang mahu membantu, saya ucapkan terima kasih, tetapi saya tidak faham kenyataan yang mengatakan ayah kini hidup melarat. Dia kini tinggal bersama keluarga.
“Jadi jangan buat andaian macam-macam mengenai ayah saya memandangkan apa yang disebarkan di laman sosial itu tidak benar,” katanya kecewa.
Jelas Rosdin, memang menjadi rutin harian ayahnya berjalan berseorangan di sekitar bandar raya Johor Bahru.
“Ayah saya memang seorang yang begitu, itu sudah menjadi aktiviti hariannya, baginya ini adalah cara untuk dia mencari ilham. Bukan kami sengaja membiarkan dia.
“Setakat ini masalah kesihatan yang dia alami hanya sakit lutut, itu pun sebab dia suka berjalan,” katanya. - utusan online

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/hiburan/mat-sentol-nafi-hidup-melarat-1.170877#sthash.JtoUr1Kv.dpuf

No comments:

Post a Comment