Ad

Wednesday, 9 December 2015

Ikrar Hadi buat Selangor

Ikrar Hadi buat Selangor
Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
DURAKOVIC (kiri) bersama-sama Azman Adnan menjulang Piala Malaysia selepas pasukan Selangor menjuarainya pada tahun 1996.

SETELAH puas merantau menabur bakti bersama pasukan lain, penyerang Selangor, Abdul Hadi Yahya menganggap tahun ini merupakan saat paling tepat untuk mencurahkan segala keri­ngat buat negeri kelahirannya.

Jelas bekas pemain skuad Piala Presiden Selangor yang membuat penampilan pertama dengan skuad Gergasi Merah pada tahun 2006 itu, kejayaan menjejak kaki ke final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini merupakan impiannya sejak remaja lagi.

“Saya sangat berbangga dengan kejayaan pasukan apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir piala berprestij ini kerana saya telah mewakili skuad negeri Selangor da­ri pelbagai peringkat umur lagi.

“Justeru, pada final kali ini, saya mahu melakukan sesuatu untuk pasukan dan berharap ia akan dapat dikenang sampai bila-bila,” kata pemain berusia 30 tahun itu ketika ditemui Kosmo! semalam.

Sementara itu, Hadi bertekad untuk melakukan tugas dengan baik jika diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Kedah pada per­lawanan akhir di Stadium Shah Alam nanti.

“Bermain pada peringkat akhir sentiasa menjadi rebutan para pemain lebih-lebih lagi dalam saingan Piala Malaysia ini.

“Jika diberi peluang oleh jurulatih (Mehmet Durakovic) pada malam final itu nanti, saya akan berusaha mempamerkan per­mainan terbaik dan tidak mensia-siakan peluang keemasan Selangor untuk mendapatkan piala keramat yang telah lama diidamkan,” jelas bekas pemain Terengganu itu lagi.

Penyerang skuad kebangsaan itu turut menjelaskan, semangat berpasukan dalam kalangan rakan-rakan sepasukan merupakan perbezaan antara skuad Gergasi Merah itu berbanding ketika membantu pasukan Terengganu merangkul Piala FA pada tahun 2011.

“Saya dapat rasakan skuad kali ini cukup istimewa kerana kami bermain seperti satu keluarga besar dan tidak mengejar rekod individu,” ujarnya yang pernah mara ke pentas akhir Piala Malaysia bersama Sang Penyu pada tahun 2011 tetapi tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan.

Selangor kini dalam misi memburu kejuaraan ke-33 yang sudah lama tertangguh sejak kali terakhir menjulang trofi teragung itu pada 2005.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3ts7xaBGF Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment