Oleh Amran Yahya -am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Sebuah gong
dipercayai berusia lebih 200 tahun dan dikatakan digunakan sebagai alat
komunikasi ketika berada di hutan masih elok dalam simpanan pemiliknya, Salleh
Ahmad, 60.
Salleh berkata, gong dikenali
sebagai ‘tetamak’ adalah pusaka peninggalan datuk sebelah ibunya yang dikenali
sebagai Tok Udin.
“Saya menyimpan gong ini lebih
30 tahun lalu. Ramai yang mahu membelinya terutama dalam kalangan datuk adat,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Ipoh di sini, semalam.
Menurut Salleh yang juga Datuk
Lembaga Seri Selemak Pahang, pada awal kurun ke-19, gong berkenaan pernah
digunakan Tok Udin sebagai alat komunikasi ketika di hutan.
“Tok Udin adalah tukang rumah
dan sentiasa membawa gong ketika memasuki hutan untuk menebang pokok bagi
dijadikan bahan untuk membina kediaman.
“Gong ini akan dipalu sebagai
alat komunikasi bagi menghantar isyarat kepada orang kampung jika dia berdepan
masalah,” katanya.
Menurut Salleh, arwah neneknya
pernah menceritakan kepadanya sesuatu yang unik mengenai penghasilan gong
berkenaan.
“Arwah nenek memaklumkan gong
ini buatan tangan Tok Udin dan dia tidak menggunakan peralatan lain. Tembaga
ini dibentuk hanya menggunakan jari Tok Udin.
“Walaupun cerita ini
seolah-olah mistik tetapi ada kemungkinan juga ia cerita benar. Ia mungkin satu
daripada kehebatan dimiliki orang dulu. Biasanya, permukaan gong cantik dan
rata tetapi jika diperhatikan serta diamati, gong ini tidak rata selain
terdapat banyak kesan cap jari, sekali gus menguatkan lagi kisah
penghasilannya,” katanya.
Menurut Salleh, walaupun bentuk
gong berkenaan sama seperti gong lain tetapi ia agak luar biasa dari segi
warna, tombol dan bunyi.
“Warnanya gelap dan tidak sama
seperti tembaga lain. Tombolnya pula dibuat berasingan dan ini menyebabkan
dengungnya agak lama serta kuat. Walaupun usia gong lebih 200 tahun tetapi
bunyinya masih tetap sama. Saya tiada niat untuk menjualnya walaupun ramai mahu
membelinya.
“Pada masa sama, gong ini
sering digunakan terutama ketika majlis keramaian adat selain disewa untuk
gimik perasmian majlis tertentu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Sabtu, 12 Disember 2015 @ 8:17 AM
Salleh membersihkan gong pusaka
di rumahnya di Tanjung Ipoh.
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/99710#sthash.9tw4hifY.dpuf
No comments:
Post a Comment