AFP -
SEORANG lelaki tempatan menunjukkan cangkerang Glyptodont yang ditemui di
tebing sebuah sungai dekat bandar Carlos Spegazzini, Argentina pada 25 Disember
lalu.
BUENOS
AIRES, Argentina – Seorang lelaki menemui satu cangkerang haiwan prasejarah
selebar satu meter di tebing sebatang sungai di Carlos Spegazzini, 40 kilometer
ke selatan Buenos Aires pada 25 Disember lalu.
Cangkerang
itu dipercayai milik seekor tenggiling gergasi yang dikenali sebagai
Glyptodont, kata beberapa pakar kelmarin.
Lelaki itu,
Jose Antonio Nievas menyangka cangkerang bersisik hitam itu merupakan sebiji
telur dinosaur selepas melihat objek tersebut melekat di dalam lumpur di tebing
sungai itu di ladang miliknya.
Nievas
memberitahu stesen televisyen tempatan, Todo Noticias bahawa dia menemui
cangkerang itu separuh tenggelam di dalam selut dan mula menggali di sekeliling
objek tersebut.
Beberapa
pakar yang melihat gambar objek itu di televisyen memaklumkan ia dipercayai
cangkerang Glyptodont.
“Tiada
keraguan bahawa ia kelihatan seperti Glyptodont. Haiwan ini pupus beberapa ribu
tahun lalu dan fosilnya banyak ditemui di rantau ini,” kata pakar paleontologi
di Muzium Sains Semula Jadi Bernadino Rivadavia, Alejandro Kramarz kepada
agensi berita AFP.
Glyptodont
merupakan nenek moyang kepada tenggiling moden. Haiwan itu mempunyai perisai
cangkerang bulat yang besar dan mencapai berat sehingga satu tan.
Spesies itu
tinggal di Amerika Selatan berjuta-juta tahun lalu. Kramarz menganggarkan
spesimen yang ditemui Nievas itu berusia sekitar 10,000 tahun. – AFP
Sumber-Artikel
Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3vsVGhSgb
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment