Ad

Thursday, 10 December 2015

Hadiah trofi buat Sultan Selangor

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
DURAKOVIC menggesa pemainnya beraksi pada tahap terbaik untuk menghadiahkan Piala Malaysia kepada Sultan Selangor.

JURULATIH Selangor, Mehmet Durakovic ingin memastikan anak-anak buah­nya menunjukkan semangat juang tinggi supaya dapat membawa pulang trofi Piala Malaysia, sekali gus memberi hadiah istimewa buat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Ulang Tahun Kepute­raan baginda hari ini.

Bagaimanapun, Selangor ba­kal berdepan laluan tidak mudah apabila dijadualkan menentang jaguh dari utara iaitu Kedah pada aksi akhir yang paling dinantikan ribuan penyokong bola sepak tempatan di Stadium Shah Alam malam esok.

Skuad Gergasi Merah berharap mereka dapat merea­li­sasikan misi untuk menjulang trofi keramat itu untuk kali ke-33 menerusi ‘Misi 33’ yang sekian lama tertangguh sejak kali ter­akhir memenangi Piala Malaysia pada 2005.

“Saya akan pastikan para pemain menyajikan aksi terbaik supaya tidak menghampakan ri­buan peminat. Secara tidak langsung, ia juga untuk memberi hadiah terbaik kepada Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan baginda esok (hari ini),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Selangor di Stadium Mini Shah Alam semalam.

Sementara itu, pengendali dari Australia itu yakin anak buahnya boleh ‘berdiri sama tinggi’ dengan pemain Kedah tanpa menafikan kehebatan beberapa bintang skuad Helang Merah itu.

“Saya akui Kedah memiliki gabungan pemain tempatan dan luar negara yang seimbang. Pemain tengah mereka, Baddrol (Bakhtiar) merupakan salah se­orang pemain tempatan yang saya kagumi.

“Dia sangat berkaliber dan me­rupakan tonggak yang bagus. Bagaimanapun, kami turut mempunyai pemain berkualiti menerusi pemain tengah, Nazmi Faiz (Mansor),” katanya.

Tanpa berselindung, Durako­vic mengagumi peningkatan dalam persembahan yang ditonjolkan pemain tengah kebangsaan itu pada tahun ini.

“Dia (Nazmi) bermain dengan cukup bagus untuk Selangor pada tahun ini. Pemain itu masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah jika meneruskan rentak per­mainan seperti itu.

“Saya percaya dia akan menjadi bintang ‘besar’ buat pasukan ini untuk beberapa tahun lagi,” katanya yang turut memuji pemain lain termasuk Leandro Dos Santos, Andik Vermansyah dan Ahmad Hazwan Bakri sepanjang kempen Piala Malaysia.

Jelasnya, persembahan keempat-empat pemain itu cukup membuatkan dia berasa teruja walaupun mereka bukanlah ‘nama besar’ dalam arena bola sepak tanah air.

“Pasukan kami masih muda dan saya yakin para pemain akan menunjukkan prestasi terbaik pada final itu nanti,” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, perlawanan kali ini dianggap unik kerana ia adalah ulangan final edisi 2008 yang mana Selangor tewas 3-2 kepada Kedah, sekali gus memberikan gelaran trebel buat skuad Helang Merah yang ketika itu dibimbing oleh Mohd. Azraai Khor Abdullah.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3ty0k3zv7

Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment