Ad

Saturday, 26 December 2015

United tumbang lagi, Van Gaal terus tertekan

SABTU, 26 DISEMBER 2015 @ 10:56 PM

 
PEMAIN Manchester United, Wayne Rooney beraksi bersama pemain Stoke City, Bojan Krkic pada aksi 'Boxing Day' Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi. - Foto Reuters STOKE-ON-TRENT, United Kingdom: Kebangkitan yang diharap gagal dijelmakan Manchester United apabila melakar kekalahan 2-0 kepada Stoke City dalam aksi 'Boxing Day' Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi. Terdesak untuk menamatkan rentetan enam perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan, aksi di laman lawan, Stadium Britannia turut berakhir duka buat The Red Devils, yang jelas bakal menambah tekanan buat pengendalinya, Louis van Gaal.

Ia turut mencatat rekod baharu kepada United, yang sebelum ini tidak pernah kalah dalam empat perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan sejak tahun 1961. Kedua-dua jaringan Stoke diledakkan pada babak pertama dengan tuan rumah jelas menguasai permainan menerusi gandingan pemain berkualiti dijana bekas pemain Barcelona, Bojan Krkic dan Xherdan Shaqiri. Krkic membuktikan kemampuannya apabila meledak gol pertama pada minit ke-19, diikuti jaringan pemain antarabangsa Austria, Marko Arnautovic pada minit ke-28. Berpunca daripada kesilapan pemain United, Memphis Depay yang gagal mengagak tepat tandukannya kepada penjaga gol, David De Gea, pemain Stoke, Glen Johnson pantas merampas bola dan menghantar bola kepada Krkic, yang mudah menyempurnakan jaringan. Gol kedua Stoke jelas lebih cantik apabila sepakan percuma Xherdan Shaqiri ditampan pemain United tiba tepak ke kaki Arnautovic, yang melepaskan rembatan padu cukup menarik menewaskan David De Gea.

Kapten United, Wayne Rooney, yang digugurkan daripada kesebelasan utama dimasukkan pada awal babak kedua, namun kehadirannya tidak banyak mengubah keadaan. Permainan tambah pantas pada babak kedua dengan Man United berjaya memperoleh beberapa peluang, namun gagal menembusi gawang Stoke. Perlawanan di Britannia itu digambarkan 'harus menang' oleh Van Gaal, yang dijangka akan 'digugurkan' selepas pertembungan terbabit. Kekalahan menyaksikan rentetan tanpa kemenangan United berlarutan kepada tujuh perlawanan berturut-turut - AGENSI


Sumber: http://www.bharian.com.my/node/108509

No comments:

Post a Comment