Ad

Saturday 12 December 2015

Chidi teruja beraksi di final

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
CHIDI Edeh sudah tidak sabar untuk merobek gawang Selangor malam ini.
 
PEMAIN import Kedah, Chidi Edeh melaungkan amaran awal untuk merobek pintu gol Selangor apabila kedua-dua pasukan beraksi pada final Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam malam ini.

Menurut pemain yang berasal dari Nigeria itu, beliau teruja kerana penampilan sulungnya dalam Liga Malaysia bersama Helang Merah tahun ini memberi peluang kepadanya untuk bermain dalam perlawanan penting seperti itu.

“Ini merupakan perluang keemasan yang sukar dilepaskan kerana Piala Malaysia merupakan paling berprestij dalam Liga Malaysia.

“Lagi pun, bukan mudah untuk setiap pasukan untuk mara ke final kerana perlu melalui kesukaran di peringkat kumpulan, suku akhir dan separuh akhir.

“Apa yang pasti, saya dan rakan-rakan sudah bersedia untuk berhadapan dengan Selangor dan berharap kami mencapai kemenangan,” katanya.

Pemain yang berusia 28 tahun itu berkata, biarpun kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu sepanjang musim ini namun beliau mengakui The Red Giants sukar dijinakkan kerana memiliki kekuatan seimbang di setiap posisi.

“Saya pernah bertemu Selangor semasa kempen Piala AFC 2013 ketika mewakili bekas pasukan East Bengal FC

“Jujur saya katakan penampilan mereka kali ini jauh berbeza berbanding dua tahun lalu,” ujarnya.

“Bagaimanapun, ia tidak mendatangkan masalah kepada kami kerana kami yakin mampu melakukan dalam kejutan dalam perlawanan malam ini,” ujarnya.

Chidi berkata, peluang beraksi pada pentas akhir Piala Malaysia ini juga sedikit-sebanyak membantu kelangsungan karier para pemain termasuk dirinya.

“Ini merupakan perlawanan terakhir tahun ini dan pastinya menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan peminat kedua-dua pasukan malah peminat bola sepak di negara ini.

“Jadi pastinya, setiap pemain mahu memberikan persembahan terbaik dan bagi Kedah sudah pastinya mahu merangkul Piala Malaysia buat kali kelima,” katanya.




Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3u5yzT1zd Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment