Ad

Sunday 30 November 2014

Nostalgia Piala Tiger 2004


Kenangan lalu jadi pengajaran
 Oleh AMRAN MULUP
 DUA kenangan pahit Sukan SEA 1991 dan 1997 apabila ditewaskan oleh Filipina serta Laos dengan jaringan 1-0 pastinya masih diingati skuad bola sepak kebangsaan.

Kekalahan tersebut pastinya menjadi pengajaran dan tidak akan berulang yang mungkin memalitkan malu paling besar apabila skuad bola sepak negara membuka tirai perlawanan Kumpulan B Piala Tiger bertemu pendatang baru, Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Kalah kepada Timor Leste bakal mengundang musibah paling besar buat jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei dan anak didiknya.

Berdasarkan rekod pencapaian terbaik skuad kebangsaan di Piala Tiger apabila muncul naib juara di Singapura pada 1996, tempat ketiga (2000), tempat keempat (2002) dan di peringkat kumpulan (1998).

Buat Bicskei tidak banyak pilihan melainkan kemenangan ke atas lawan sebagai langkah awal untuk mengisi salah satu tempat ke separuh akhir.

Selepas ini skuad kebangsaan akan berdepan dengan Filipina sebelum menempuh dua laluan berliku bertemu Myanmar dan perlawanan terakhir dengan juara bertahan, Thailand.

Secara realistik peluang Malaysia adalah cerah untuk mencuri satu tempat ke separuh akhir kerana saingan paling getir adalah berdepan dengan Thailand yang menjadi pasukan pilihan untuk muncul juara.

Begitupun laluan mudah pastinya ke atas Filipina yang sepanjang empat kejohanan Piala Tiger tidak pernah memenangi sebarang perlawanan.

Manakala Myanmar pula yang tidak pernah melepasi saingan ke separuh akhir dilihat sedikit memberi cabaran.

Jurulatih dari Hungary itu pastinya mencongak strategi dengan senarai 22 pemain ketika tanpa kelibat Akmal Rizal Rakhli dan Indra Putra Mahayuddin yang mempamerkan aksi cemerlang di kejohanan ini dua tahun lalu di Jakarta.

Tanpa kedua-dua pemain tersebut pastinya, Bicskei mengharapkan gandingan dua pemain Perak, Muhammad Khalid Jamlus dan V. Saravanan serta dibantu oleh penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah mengemudi jentera serangan.

Skuad kali ini dilihat pincang dengan ketiadaan beberapa pemain berpengalaman seperti Tengku Hazman Raja Hassan dan Hairuddin Omar yang boleh menjelaskan wajah suram Bicskei mengadunkan kesebelasan terbaik malam ini.

Bicskei pastinya mengharapkan kecemerlangan penjaga gol Syamsuri Mustafa serta gandingan Chow Chee Weng, Khaironnisam Sahabuddin, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani mengemudi benteng pertahanan.

Penggerak bahagian tengah bakal dipikul oleh K. Nanthakumar, Fadzli Shaari, Shukor Adan dan D. Surendran.

Manakala bahagian serangan bakal dipikul oleh Saravanan, Khalid Jamlus dan Amri Yahyah untuk memastikan kemenangan bermakna buat Malaysia.

Atas kertas Timor Leste dilihat bukan lawan yang cukup digeruni kerana mereka masih baru dalam sukan bola sepak dan penyertaan di Piala Tiger adalah penampilan pertama di peringkat antarabangsa.

Tidak banyak yang diketahui mengenai kekuatan sebenar Timor Leste tetapi rata-rata jurulatih yang mengambil bahagian menyifatkan pasukan itu tidak boleh dipandang remeh.

Selain diterajui oleh jurulatih dari Portugal, Jose Luis, mereka turut memiliki tiga pemain daripada kelab di Australia dan Portugal.

Dua pemain mereka beraksi dengan kelab Divisyen Tiga Australia iaitu pemain tengah, Felicio Margarido Guterres mewakili kelab Palmonstam Lafaek Darwin dan penyerang, Geovani Manuel Babo dengan kelab Endevohill United Darwin, Australia.

Seorang lagi pemain pertahanan, Alfredo Manuel Mousinho Esteves pula bermain dengan kelab Divisyen Dua Portugal, kelab Oliveira do Bairo Sport Club. 
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3KcqVJyzm© Utusan Melayu (M) Bhd

Nostalgia Piala Tiger 1998



ARKIB : 27/08/1998
Kita tumpas di pembukaan
 SKUAD kebangsaan yang turun selaku naib juara pada 1996 tewas dalam perlawanan pembukaan kumpulan A Piala Tiger apabila tumpas kepada Singapura 0-2 di Stadium Hanoi, Vietnam, petang semalam.

ISHAK SALLEH melaporkan, Singapura yang tersingkir di peringkat awal pada 1996 di gelanggang sendiri, menurunkan sebahagian pemain muda menerima asakan pada sepuluh minit pertama.

Bagaimanpun, Singapura berjaya mendahului kedudukan apabila tendangan sudut sebelah kiri yang diambil oleh Kadir Yahya berjaya ditanduk oleh Rafi Ali yang menunggu di dalam kotak penalti dan gagal diselamatkan oleh Azmin Azram.

Pada minit ke-23, Malaysia membuat satu gerakan melalui Azmi Mohamad yang melorongkan bola, namun rembatan kencang Jalaluddin Jaafar berjaya dikeluarkan oleh pertahanan, R. Sasikumar.

Singapura terus menguasai perlawanan dan kemasukan Lim Soon Seng bagi menggantikan Aide Iskandar telah mengubah corak permainan Singapura menjadi lebih rancak dan banyak melakukan serangan.

Gandingan Soon Seng, Ahmad Latiff Kamaruddin dan Gusta Guzarishah benar-benar menggugat anak-anak buah jurulatih kebangsaan Hatem Soussi yang terpaksa banyak bertahan.

Pada minit ke-35, Ahmad Latif sekali menggegarkan gawang Malaysia melalui satu rembatan kencang setelah mendapat umpanan dari Soon Seng dari sebelah kiri.

Pertahanan Malaysia, V. Thinagaran yang mengawal Ahmad Latif gagal menyekat pemain muda Singapura itu yang berjaya mengelecekkan bola di dalam kotak penalti sebelum merembat dan menewaskan Azmin.

Corak permainan skuad kebangsaan agak longgar walaupun meletakkan enam pemain skuad Olimpik dan bakinya terdiri daripada pemain Liga Malaysia.

Pada separuh masa kedua, Singapura bermain dengan lebih berhati-hati dan memperlahankan perlawanan bagaimanapun mampu mengatur serangan yang menggugat pertahanan negara.

Pada minit ke-62, pertahanan negara dicabar sekali lagi oleh Ahmad Latiff yang membuat satu tendangan kencang dari penjuru kanan kotak penalti, bagaimanapun, tindakan pantas Thinagaran menolak bola keluar mengecewakan Rafi yang berada di dalam kotak penalti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz3KcLecXCu© Utusan Melayu (M) Bhd

Dollah terkilan hilang Shukor, Amri



01 Disember 2014 12:42 AM
Dollah Salleh kini terpaksa memikirkan siapa yang akan mengisi
Dollah Salleh kini terpaksa memikirkan siapa yang akan mengisi tempat Amri Yahyah dan Shukor Adan yang tidak dapat bermain dalam separuh akhir pertama Piala AFF bertemu Vietnam kerana mengumpul dua kad kuning.

SEPANG – Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh melahirkan rasa terkilannya tetapi terpaksa menerima hakikat bahawa Harimau Malaya kehilangan dua tonggak penting, Amri Yahyah dan ketua pasukan Shukor Adan untuk separuh akhir pertama Piala AFF menentang Vietnam Ahad ini.

Kedua-dua pemain tengah itu digantung perlawanan kerana me­nerima dua kad kuning.

Dollah berkata, ekoran ketia­daan kedua-dua pemain berpe­ngalaman tersebut, beliau terpaksa mengubah percaturannya dan menggantikan mereka dengan pemain-pemain sedia ada dan keputusan hanya akan dibuat pada sesi latihan menjelang separuh akhir itu nanti.

“Saya terkilan juga dua tonggak kita tak dapat beraksi tetapi saya ada sedikit masa untuk membuat persediaan siapa yang akan menggantikan kedua-dua pemain ini,” katanya kepada pemberita sebaik tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Mengulas mengenai persembahan anak-anak buahnya, beliau melahirkan rasa puas hati terhadap prestasi yang dipamerkan mereka, walaupun terpaksa menunggu sehingga minit-minit terakhir bagi memastikan tempat di separuh akhir menjadi milik mutlak Harimau Malaya.

Jelasnya lagi, para pemain berjaya mempamerkan peningkatan dalam perlawanan demi perlawanan dan akhirnya berhasil mengisi slot terakhir separuh akhir Piala AFF yang sekali gus melayakkan Malaysia untuk bertemu juara Kumpulan A, Vietnam.

“Saya berpuas hati dengan corak permainan kita yang meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan apa yang paling saya puas hati walau dalam masa singkat saya bersama pasukan, kita dapat juga mara ke separuh akhir,” ujarnya.

Dollah memberitahu, khususnya pada perlawanan kelmarin, para pemain memberikan komitmen penuh apabila mereka tidak berputus asa dalam memburu gol kemena­ng­an setelah diikat dengan kedu­duk­an­ 1-1.

“Semua pemain dapat bagi komitmen penuh itu yang penting, sekalipun dalam keadaaan 1-1, kita masih tak berputus asa walaupun tinggal beberapa minit sahaja lagi. Kita masih berusaha untuk mencari gol dan akhirnya Alhamdulillah kita berjaya dan saya berpuas hati de­ngan para pemain,” tambahnya.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-terkilan-hilang-shukor-amri-1.31152#sthash.rSS1LhM5.dpuf

Ibarat kisah Cinderella



MUHAMMAD DAYNE AZMIN  |  01 Disember 2014 12:41 AM
 Pemain-pemain Malaysia  meraikan gol ketiga mereka yang dijaringkan
Pemain-pemain Malaysia meraikan gol ketiga mereka yang dijaringkan

Pemain-pemain Malaysia meraikan gol ketiga mereka yang dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin dalam perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapura kelmarin. – UTUSAN/Abdul Razak Latif

SINGAPURA – Meresahkan pada permulaan namun di penghujung­nya berakhir dengan cerita menggembirakan pada saingan Kumpulan B Piala AFF 2014.

Walaupun dihujani pelbagai kriti­kan pedas selepas dua perlawanan berdepan Myanmar dan Thailand, Dollah Salleh ternyata ada magisnya yang tersendiri untuk membawa Harimau Malaya ke separuh akhir Piala AFF edisi ke-10.

Siapa sangka ketika permainan sudah memasuki masa kecederaan dan Singapura semakin hampir ke gerbang separuh akhir, sepakan penalti yang diterima mengubah segala perjalanan cerita Harimau Malaysia.

Safiq Rahim tenang menyempurnakan sepakan berkenaan sebelum Indra Putra Mahyuddin menyempurnakan memori indah buat 1,000 penyokong negara yang hadir di Stadium Nasional, Kallang dan 27 juta rakyat Malaysia.

Kejayaan layak ke separuh akhir bagaimanapun tidak wajar membuatkan anak-anak buah Dollah berasa terlalu yakin sebelum menghadapi Vietnam pada aksi timbal balik pertama, pada Ahad ini di Stadium Shah Alam.

Masih ada satu perkara yang wajar dibimbangkan iaitu siapakah boleh menggantikan tempat Shukor Adan dan Mohd. Amri Yahyah yang digantung satu per­lawanan selepas me­ngutip kad kuning kedua dalam usaha mencari bekalan selesa ke Hanoi.

Jika S. Kunanlan sempat cergas sebelum perlawanan pada 7 Disember ini, dia mungkin menjadi jawapan terbaik kepada kehilangan Amri di posisi sayap kiri.

Cuma apa yang merisaukan ialah siapakah calon terbaik untuk digandingkan bersama Mohd.Muslim Ahmad di bahagian pertahanan sama ada Afif Amirudin atau Mohd.Fadhli Shas.

Daripada aspek permainan, Safiq Rahim dan Gary Steven Robbat terus wajar diberikan peranan di bahagian tengah dengan apa yang mereka tunjukkan ketika berdepan Singapura.

Mereka menjadi jawapan terbaik kepada Dollah selepas aksi Myanmar dan Thailand, bahagian tengah menjadi posisi paling membimbangkan.

Selain itu, prestasi Norshahrul Idlan Talaha belum berada di tahap terbaik dan graf prestasinya ketika berdepan Singapura menampakkan sedikit peningkatan namun masih belum membuatkan Dollah berpuas hati seperti mana Safee Sali.

Di gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat wajar dikekalkan selaku penjaga gol nombor satu melalui aksi cemerlang ditampilkan dalam ketiga-tiga perlawanan.

Bertemu Vietnam yang serba pantas permainannya, Dollah wajar mempertingkatkan tempo permainan anak-anak buahnya jika mahu memasang impian ke final Piala AFF.

Tiada yang mustahil buat Harimau Malaya untuk mengejutkan Vietnam yang diletakkan salah satu pasukan pilihan selain Thailand dalam Piala AFF kali ini.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ibarat-kisah-cinderella-1.31146#sthash.NLNozneN.dpuf

Kim Swee jadi perisik di Hanoi



AIZAWATI AHMAD  |  01 Disember 2014 1:08 AM

PEMAIN-pemain Harimau Malaya melambai kepada para penyokong Malaysia
PEMAIN-pemain Harimau Malaya melambai kepada para penyokong Malaysia

PEMAIN-pemain Harimau Malaya melambai kepada para penyokong Malaysia sebagai tanda terima kasih atas sokongan mereka selepas menumpaskan Singapura 3-1 di Stadium Nasional, Singapura kelmarin. – REUTERS

SEPANG - Hasil risikan yang dibuat oleh jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee yang di­terbangkan khas ke Hanoi, Vietnam bagi meninjau aksi Kumpulan A, Piala AFF mungkin dapat membantu pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh mengadun rencah terbaik untuk dipersembahkan pada perlawanan separuh akhir pertama menentang Vietnam Ahad ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, maklumat yang disalurkan oleh Kim Swee nanti diyakini dapat membantu Dollah untuk mengenal pasti corak permainan dan strategi yang mungkin digunakan pasukan lawan.

“Pada hari Selasa (esok) kita ada mesyuarat tertutup dengan Ong Kim Swee yang akan membentangkan laporan penuh kepada Dollah mengenai hasil pemantauan beliau di Hanoi.

“Jadi kita ada mesyuarat tertutup teknikal bersama kedua-dua jurulatih bagi mengenal pasti corak dan juga melihat dari segi taktikal untuk kita lawan Vietnam pada Ahad ini serta di Hanoi 11 haribulan,” katanya kepada pemberita sebaik tiba dari Singapura di Lapang­an Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Menurut beliau, FAM telah menghantar Kim Swee ke Hanoi sejak awal peringkat kumpulan Piala AFF bagi menyaksikan kesemua perlawanan di sana dan diyakini jurulatih itu mampu menyalurkan maklumat penting, selain memanfaatkan pengalaman bermain menentang Vietnam dalam aksi persahabatan baru-baru ini.

Pertembungan menentang Vietnam boleh diibaratkan seperti perlawanan ulangan separuh akhir empat tahun lalu yang menyaksikan Harimau Malaya, yang ketika itu dibimbing oleh Datuk K. Rajagobal, berjaya menjinakkan lawan mereka untuk ke perlawanan akhir dan akhirnya menjulang Piala AFF.

Mengulas mengenai dua tonggak pasukan, Amri Yahyah dan ketua pasukan Shukor Adan yang tidak dapat beraksi pada separuh akhir pertama ekoran digantung kerana menerima dua kad kuning, Hamidin memberitahu, beliau tetap yakin semangat para pemain tidak akan terjejas, malah berada pada tahap yang tinggi setelah mengalahkan juara bertahan Singapura.

“Saya kira mustahak semangat pemain begitu tinggi dan kita harap keharmonian pasukan ini dapat te­rus kita jaga hingga separuh akhir, sudah tentu kita tak akan lepaskan peluang untuk ke perlawanan akhir,” ujarnya yang juga penolong pengurus pasukan.

Ditanya mengenai kemena­ngan skuad kebangsaan ke atas Singa­pura, kelmarin, beliau berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan selama ini.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-jadi-perisik-di-hanoi-1.31182#sthash.BNCzuSmK.dpuf