PARA pemain Harimau Malaya
tidak perlu terlalu menghormati Thailand sebaliknya harus yakin dengan
kebolehan sendiri.
HORMATILAH pasukan lawan tetapi
pada masa yang sama skuad bola sepak negara perlu yakin dengan kebolehan
sendiri serta mengambil iktibar daripada kesilapan lalu.
Jika hal ini diberi perhatian,
Harimau Malaya mampu membenamkan ego Thailand petang ini yang akan turun dengan
reputasi hebat setelah mampu mengaibkan juara Piala AFF Suzuki 2012, Singapura
pada Ahad lalu.
Kenapa perlu menghormati
Thailand sedangkah kapten Harimau Malaya, Shukor Adan menjelaskan bahawa pemain
negara tidak perlu terlalu menghormati Gajah Putih yang kini memiliki tiga mata
hasil kemenangan 2-1 ke atas Singapura pada Ahad lalu.
Jika tidak menghormati pasukan
lawan bermakna skuad negara menepati frasa ‘bodoh sombong’ iaitu enggan
mengkaji kelebihan mereka dan tidak mahu mencari kaedah mengatasi cabaran itu.
Oleh sebab itu, maka wajar
Harimau Malaya menghormati lawan mereka tetapi penghormatan itu janganlah
sampai para pemain langsung berputus asa dan menganggap bahawa pintu kemenangan
sudah pun tertutup.
Sepatutnya, apabila menghormati
lawan, mereka perlu sedar bahawa skuad negara mestilah bermain setaraf dengan
kedudukan mereka dan menggunakan setiap peluang yang tercipta dengan bijaksana.
Dalam keadaan menghormati pihak
lawan, pastikan para pemain mempamerkan belang yang sama garangnya dengan
jolokan Harimau Malaya.
Caranya ialah para pemain wajib
yakin dengan kebolehan diri sendiri.
Pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa ‘Tidak akan hilang bisa ular menyusur akar’.
Hal itu bermaksud bahawa
kehebatan skuad negara tidak luput walaupun harus menghormati lawan selagi
mereka bijak menggunakan kelebihan diri sendiri.
Sebagai contoh, dalam seni
persilatan, sambil pesilat melakukan gerak tari kesenian persilatan, tanpa
diduga lawan, dia mampu memukul atau mengunci pergerakan lawannya.
Dalam konteks perlawanan petang
ini, Harimau Malaya tidak perlu berasa tertekan sebaliknya bermain dengan
perhatian yang penuh, keazaman yang tinggi, kematangan yang terserlah dan daya
kreativiti yang tinggi.
Dengan perkataan yang lain,
nikmatilah perlawanan itu sepenuhnya.
Bermainlah dengan penuh
keseronokan dan peragakan perkara yang positif iaitu kehebatan menggelecek,
ketepatan hantaran, kesenian kawalan bola serta kebijaksanaan membaca gerakan
lawan.
Jika mahu berjaya, pamerkan
keunggulan kerjasama sepasukan, persefahaman yang tinggi dan penghayatan
semangat kesukanan yang sewajarnya. - ALIAS ISMAIL
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3KAIvHxPSHakcipta
terpelihara
No comments:
Post a Comment