Ad

Friday, 21 November 2014

‘Tak payah psiko kami’



Latihan di Stadium Jalan Besar dipindahkan ke padang sekolah
22 November 2014 1:50 AM

SINGAPURA 21 NOVEMBER 2014 - Pemain Harimau Malaya menjalani latihan bagi persiapan menjelang perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 menentang Myammar Ahad ini, di Sekolah Sukan Singapura, di sini, hari ini. Gambar: Abdul Razak Latif / Pemberita: Dayne (Sukan) / Ahmad Fazli (Sukan Kosmo).

SINGAPURA - Perancangan awal pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh untuk menguji Stadium Jalan Besar semalam terbantut apabila tuan rumah menukar sesi latihan sulung Piala AFF Suzuki ke Sekolah Sukan Singapura.

Biarpun sedikit ralat kerana pelan asalnya terganggu, Dollah masih mampu tersenyum kerana pihak penganjur masih memberikan mutu padang yang hampir setanding seperti Jalan Besar.

Tidak termakan cara psikologi pihak lawan, beliau tetap mahu berfikir positif kerana masih diberi ruang bermain di Jalan Besar hari ini, sehari sebelum perlawanan sebenar berdepan Myanmar, petang esok.

“Sepatutnya kami melakukan latihan di Jalan Besar hari ini, namun ada perubahan di saat akhir maka kita dijadualkan mengadakan latihan di sini sahaja dahulu.

“Walaupun hajat saya untuk menguji permukaan Jalan Besar tidak kesampaian, itu bukan satu masalah besar kerana sekurang-kurangnya masih mempunyai ke­sempatan pada hari esok (hari ini).

“Padang di sini lagi baik daripada padang Bukit Jalil, namun berdasarkan maklumat yang saya dapat, Jalan Besar lebih baik daripada sini.

“Yang penting, pemain semua­ bebas daripada masalah kecede­raan dan saya boleh menggunakan sesiapa sahaja bagi aksi pertama berdepan Myanmar,” katanya pada sesi latihan semalam.

Semangat pemain Harimau Malaya tampak berkobar-kobar pada sesi latihan semalam walaupun mereka baru sampai ke Singapura beberapa jam sebelum turun ke padang Sekolah Sukan Singapura.

Dollah memberikan kredit kepada pemain yang tidak kenal erti penat memandangkan masa semakin suntuk sebelum turun berdepan Myanmar.

“Memang kalau diikutkan, semua pemain masih kepenatan kerana kerap kali menempuh perjalanan dengan baru balik dari ­Vietnam dan beberapa hari kemudian datang ke sini.

“Namun, saya dan semua pemain kena berusaha kuat dalam waktu yang ada ini bagi memperbaiki kelemahan sedia ada supaya kita mampu berikan saingan kepada Myanmar,” katanya.

Satu aspek positif yang boleh memberi kelegaan kepada Dollah adalah pemain dilihat berada dalam kecergasan terbaik.

Malah, mental dan mood pemain kini berada di tahap maksimum bagi menggempur habis-habisan Myanmar dalam memburu tiga mata sulung. – UTUSAN
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-tak-payah-psiko-kami-8217-1.27557#sthash.HhWD47CZ.dpuf

No comments:

Post a Comment