Kenangan lalu jadi pengajaran
Oleh AMRAN MULUP
DUA kenangan pahit Sukan SEA
1991 dan 1997 apabila ditewaskan oleh Filipina serta Laos dengan jaringan 1-0
pastinya masih diingati skuad bola sepak kebangsaan.
Kekalahan tersebut pastinya
menjadi pengajaran dan tidak akan berulang yang mungkin memalitkan malu paling
besar apabila skuad bola sepak negara membuka tirai perlawanan Kumpulan B Piala
Tiger bertemu pendatang baru, Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil,
malam ini.
Kalah kepada Timor Leste bakal
mengundang musibah paling besar buat jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan
Bicskei dan anak didiknya.
Berdasarkan rekod pencapaian
terbaik skuad kebangsaan di Piala Tiger apabila muncul naib juara di Singapura
pada 1996, tempat ketiga (2000), tempat keempat (2002) dan di peringkat
kumpulan (1998).
Buat Bicskei tidak banyak
pilihan melainkan kemenangan ke atas lawan sebagai langkah awal untuk mengisi
salah satu tempat ke separuh akhir.
Selepas ini skuad kebangsaan
akan berdepan dengan Filipina sebelum menempuh dua laluan berliku bertemu
Myanmar dan perlawanan terakhir dengan juara bertahan, Thailand.
Secara realistik peluang
Malaysia adalah cerah untuk mencuri satu tempat ke separuh akhir kerana saingan
paling getir adalah berdepan dengan Thailand yang menjadi pasukan pilihan untuk
muncul juara.
Begitupun laluan mudah pastinya
ke atas Filipina yang sepanjang empat kejohanan Piala Tiger tidak pernah
memenangi sebarang perlawanan.
Manakala Myanmar pula yang
tidak pernah melepasi saingan ke separuh akhir dilihat sedikit memberi cabaran.
Jurulatih dari Hungary itu
pastinya mencongak strategi dengan senarai 22 pemain ketika tanpa kelibat Akmal
Rizal Rakhli dan Indra Putra Mahayuddin yang mempamerkan aksi cemerlang di
kejohanan ini dua tahun lalu di Jakarta.
Tanpa kedua-dua pemain tersebut
pastinya, Bicskei mengharapkan gandingan dua pemain Perak, Muhammad Khalid
Jamlus dan V. Saravanan serta dibantu oleh penyerang Selangor, Mohd. Amri
Yahyah mengemudi jentera serangan.
Skuad kali ini dilihat pincang
dengan ketiadaan beberapa pemain berpengalaman seperti Tengku Hazman Raja
Hassan dan Hairuddin Omar yang boleh menjelaskan wajah suram Bicskei
mengadunkan kesebelasan terbaik malam ini.
Bicskei pastinya mengharapkan
kecemerlangan penjaga gol Syamsuri Mustafa serta gandingan Chow Chee Weng,
Khaironnisam Sahabuddin, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani mengemudi benteng
pertahanan.
Penggerak bahagian tengah bakal
dipikul oleh K. Nanthakumar, Fadzli Shaari, Shukor Adan dan D. Surendran.
Manakala bahagian serangan
bakal dipikul oleh Saravanan, Khalid Jamlus dan Amri Yahyah untuk memastikan
kemenangan bermakna buat Malaysia.
Atas kertas Timor Leste dilihat
bukan lawan yang cukup digeruni kerana mereka masih baru dalam sukan bola sepak
dan penyertaan di Piala Tiger adalah penampilan pertama di peringkat
antarabangsa.
Tidak banyak yang diketahui
mengenai kekuatan sebenar Timor Leste tetapi rata-rata jurulatih yang mengambil
bahagian menyifatkan pasukan itu tidak boleh dipandang remeh.
Selain diterajui oleh jurulatih
dari Portugal, Jose Luis, mereka turut memiliki tiga pemain daripada kelab di
Australia dan Portugal.
Dua pemain mereka beraksi
dengan kelab Divisyen Tiga Australia iaitu pemain tengah, Felicio Margarido
Guterres mewakili kelab Palmonstam Lafaek Darwin dan penyerang, Geovani Manuel
Babo dengan kelab Endevohill United Darwin, Australia.
Seorang lagi pemain pertahanan,
Alfredo Manuel Mousinho Esteves pula bermain dengan kelab Divisyen Dua
Portugal, kelab Oliveira do Bairo Sport Club.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3KcqVJyzm©
Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment