Ad

Wednesday, 26 November 2014

Filipina belasah Indonesia 4-0



PARA pemain Filipina (jersi putih) meraikan kejayaan mereka selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014 hasil kemenangan 4-0 ke atas Indonesia pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium My Dinh, Hanoi semalam.

HANOI – Filipina mengesahkan slot ke pusingan separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut dengan penuh bergaya selepas membelasah Indonesia 4-0 pada aksi kedua Kumpulan A kempen Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium My Dinh semalam.

Tiga mata berharga itu menyaksikan The Azkals terus kekal sebagai pendahulu Kumpulan A dengan enam mata selepas meratah Laos 4-1 pada aksi pembukaan Jumaat lalu.

Filipina hanya membuat satu pertukaran dalam kesebelasan utama pada aksi semalam apabila menggantikan Mark Hartmann dengan Patrick Reichelt yang meledak dua gol pada aksi menentang Laos sebelum ini.

Skuad bimbingan Thomas Dooley itu tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila memperoleh jaringan pertama menerusi kapten pasukan, Phil Younghusband menyempurnakan sepakan penalti selepas Misagh Bahadora dijatuhkan oleh kapten Indonesia, Firman Utina pada minit ke-16.

Pemain tengah The Azkals, Manuel Ott berjaya menggandakan kedudukan pada minit ke-52 menerusi sepakan kencang daripada luar kotak penalti, sekali gus menewaskan penjaga gol Sang Garuda, Kurnia Meiga Hermansyah.

Selepas memperoleh gol kedua, Filipina dilihat lebih bersemangat untuk menambah derita Indonesia dan usaha mereka terhasil menerusi jaringan ketiga daripada pemain kacukan Switzerland, Martin Steuble pada minit ke-67.

Skuad kendalian Alfred Riedl itu seolah-olah hilang arah apabila Rizki Pora dilayangkan kad merah kerana mengasari Younghusband sebelum pemain gantian, Rob Gier memastikan Filipina melangkah bergaya ke separuh akhir dengan gol keempat pada minit ke-79.

Biarpun telah melayakkan diri ke pusingan seterusnya, Filipina perlu menghabiskan baki satu perlawanan dengan menentang tuan rumah, Vietnam pada Jumaat ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3KAMZIF71Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment