28 November 2014 12:52 AM
Safee Sali
SINGAPURA – Kritikan demi
kritikan yang dilemparkan oleh peminat ke atas skuad negara yang menghadapi
misi mesti menang ke atas Singapura dalam perlawanan terakhir Piala AFF
membuatkan penyerang Harimau Malaya, Safee Sali akhirnya ‘meletup’.
Dia menggunakan akaun Instagram
untuk menyindir peminat yang menghentam prestasinya dengan meminta mereka
supaya jangan lagi menyokong pasukan negara jika berasa malu dengan kekalahan
2-3 kepada Thailand kelmarin.
“Yang komen negatif kat sini pernah
ke main bola di peringkat antarabangsa, kalau tidak pernah, baik diam dan
jangan hendak perlekehkan usaha orang menjaga maruah negara, jika berasa malu
menyokong Harimau Malaya, lebih baik tukar bendera negara lain,” katanya.
Ditemui selepas sesi latihan
pasukan negara di Stadium Bishan semalam bagi memperjelaskan keadaan,
penyerang Johr Darul Ta’zim itu mengakui dia berasa amat kecewa dengan sikap
negatif yang ditunjukkan peminat sedangkan pemain telah berjuang habis-habisan
untuk mendapatkan kemenangan.
“Kita bermati-matian di atas
padang tetapi bila perkara macam ini timbul iaitu kritikan yang tidak membina,
saya rasa tidak sesuai pada masanya.
“Apa yang saya dan rakan-rakan
lain mahukan adalah sokongan padu dan konsisten setiap masa, bukan mencari
sokongan selepas kemenangan. Kalau boleh, saya harap peminat janganlah cepat
menghukum kami kerana perjuangan belum berakhir,” katanya.
Safee juga meminta maaf kepada
penyokong di Stadium Jalan Besar kelmarin kerana tidak sempat memberikan
sebarang penghargaan selepas perlawanan kerana terlalu kecewa mereka tewas di
saat-saat akhir permainan dengan Thailand.
“Selepas perlawanan, kami amat
kecewa bila kalah di minit terakhir permainan sedangkan kami cukup yakin boleh
menang apabila mendahului dua kali.
“Bila jadi begitu, fikiran kami
entah ke mana. Kami tahu kami silap, namun sebenarnya kami memberikan tepukan
dari jauh serta tabik hormat (kepada peminat di stadium) cuma kami tidak mahu
meraikan kekalahan tersebut bersama penyokong,” katanya.
Menjelang pertemuan dengan
Singapura, Safee memberikan amaran rakan sepasukannya di Johor Darul Ta’zim
(JDT), Hariss Harun yang menjaringkan dua gol semasa berdepan Myanmar.
“Hariss merupakan pemain yang
cukup lincah, boleh beraksi di banyak posisi dan tidak kenal erti penat, jadi
kita tidak boleh memberi banyak ruang kepadanya.
“Singapura kali ini adalah
sebuah pasukan yang berbeza dengan yang saya temui selama beberapa tahun lalu
kerana pertama kali mereka tidak menggunakan pemain naturalisasi yang selalu
memberi kelebihan kepada mereka. Jadi saya rasa kita kena gunakan kesempatan
ini,” katanya. – UTUSAN
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kami-perlukan-sokongan-bukan-cacian-8211-safee-sali-1.30034#sthash.sQy4SeBh.dpuf
No comments:
Post a Comment