Pengenalan
Menurut pandangan Islam, manusia dijadikan Allah SWT sebagai khalifah di
muka bumi dan setiap manusia adalah pemimpin secara langsung atau tidak
langsung. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemimpin yang dipilih dan dilantik
oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar. Kepimpinan baginda
terserlah sewaktu baginda berada di kota Makkah iaitu sebelum menerima wahyu
sebagai Nabi dan Rasul. Kepimpinan itu makin jelas setelah baginda berhijrah ke
Madinah.
Isi
Antara
ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. ialah bersifat adil. Isteri baginda iaitu
Saidatina Aisyah binti Abu Bakar al Siddiq menyatakan baginda bersikap adil
dalam segala hal seperti percakapan dan perbuatan. Baginda telah menghapuskan
diskriminasi kaum dengan menghapuskan semangat assabiyah. Baginda juga membela
kaum wanita serta memperkenalkan sistem ekonomi yang adil. Amalan riba dan
penipuan yang selama ini menjadi kebiasaan para pedagang Arab telah diharamkan
dan digantikan dengan ekonomi Islam.
Seterusnya baginda juga seorang yang
bijak. Baginda pintar mengatur taktik dan strategi peperangan. Contohnya,
walaupun tentera Islam cuma seramai 313 orang dalam Perang Badar, namun dengan
adanya strategi bijak yang diatur oleh baginda, mereka berjaya mengalahkan
tentera Musyrikin/Quraisy Makkah yang seramai 1000 orang. Sebagai pemimpin
tertinggi, baginda tidak sombong malah menerima pakai nasihat para sahabat.
Contohnya baginda menerima cadangan Salman al Farisi agar menggali parit
sekeliling kota Madinah untuk menyekat kemaraan tentera musuh dalam Perang
Khandak.
Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w.
juga seorang yang berani dan tegas. Baginda bukan sahaja seorang nabi
dan rasul yang diutuskan malah juga seorang pahlawan yang tiada tolok
bandingnya. Baginda mengetuai setiap ekspedisi perang walaupun jumlah
tenteranya kecil malah baginda berasa bertanggungjawab meniupkan semangat jihad
dalam kalangan tentera Islam. Ketegasan baginda pula terserlah dengan
menyingkirkan kaum Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah dari
bumi Madinah setelah melanggar Piagam Madinah. Mereka telah cuba menimbulkan
keadaan huru-hara serta memecahbelahkan penduduk Madinah. Kesannya, penduduk
Madinah kini Cuma terbatas kepada orang Islam sahaja.
Baginda juga seorang yang cekal.
Walaupun menerima tentangan hebat seawal usaha penyebaran Islam di Makkah,
namun baginda tetap meneruskan dakwah Islamiyah walaupun terpaksa berhijrah ke
tempat lain. Baginda tetap tabah menghadapi tentangan walaupun penentang itu
datangnya daripada ahli keluarga terdekat seperti Abu Lahab yang merupakan bapa
saudara baginda. Pelbagai cara digunakan oleh Quraisy untuk menunjukkan protes
mereka namun usaha mereka itu menemui kegagalan dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w.
berjaya membina sebuah negara Islam Madinah yang mampu menyaingi kota Makkah
dari aspek ekonomi yang ketika itu dipegang oleh kaum Yahudi.
Nabi Muhammad s.a.w. juga seorang yang berakhlak mulia. Akhlak mulia
mampu menarik hati tidak kira kawan ataupun lawan. Dalam aspek kekeluargaan,
baginda merupakan ketua keluarga yang patut dicontohi ekoran sifat pengasih dan
penyayang. Contohnya, baginda sering membantu isteri memasak, menampal pakaian
yang koyak, melayan anak-anak serta membersihkan rumah. Orang Arab Quraisy
menggelarkan baginda ‘al-Amin’ kerana segala perkataan dan perbuatan baginda
sentiasa dipercayai. Baginda juga seorang pemaaf seperti memaafkan Saidina Umar
al Khattab yang pernah menjadi musuh ketat Islam malah pernah cuba membunuh
baginda.
Penutup
Ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki Nabi Muhammad s.a.w. telah
diimplementasi dalam dasar-dasar negara. Sebagai seorang pemimpin, baginda amat
dihormati sehinggakan baginda dianggap seorang negarawan yang ulung.
No comments:
Post a Comment