Ad

Saturday, 22 November 2014

Madah berhelah Raddy



23 November 2014 1:21 AM

Pemain Harimau Malaya menjalani latihan terakhir di Stadium Jalan
Pemain Harimau Malaya menjalani latihan terakhir di Stadium Jalan

Pemain Harimau Malaya menjalani latihan terakhir di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam sebelum memulakan perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 menentang Myanmar di venue yang sama, hari ini.

SINGAPURA - “Saya harap prestasi dia sebagai jurulatih tidak sama se­perti ketika menjadi pemain.”

Itu pandangan sinis jurulatih Myanmar, Radojko Avramovic mengenai pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh menjelang aksi getir kedua-dua pasukan dalam saingan pembukaan Kumpulan B Piala AFF Suzuki, hari ini.

Walaupun menyuarakan pandangan secara sinis, Radojko atau lebih dikenali dengan panggilan Raddy, sebenarnya kelihatan sedikit resah untuk berdepan Harimau Malaya di Stadium Jalan Besar.

Sejak awal sidang akhbar lagi, jurulatih kelahiran Serbia itu tidak henti-henti memuji Malaysia yang disifatkan berada dalam kelas tersendiri bersama Singapura dan Thailand kerana pernah menjulang Piala AFF.

Selain itu, dia tidak mahu menjadikan alasan pengalamannya ketika bergelar jurulatih Si­ngapura sebelum ini sebagai aset berharga.

Raddy pernah membawa skuad Lions mengalahkan Malaysia 3-0 dalam saingan Piala AFF 2012.

“Apa yang sudah berlaku sebelum ini cuma tinggal sejarah, dan saya kini adalah jurulatih Myanmar.

“Saya membimbing sebuah pa­sukan yang berwajah baharu pada kejohanan kali ini.

“Ini adalah pertandingan berlainan dan anda tidak boleh samakan situasi yang dulu sama seperti sekarang.

“Kami akan cuba memenangi tiap perlawanan.

“Aksi pertama menentang Malaysia, pasti menarik dan kami akan cuba tumbangkan mereka dalam perlawanan esok,“ katanya.

Raddy pernah membawa Si­ngapura muncul juara tiga kali pada 2004, 2007 dan 2012.

Myanmar yang tampil dengan status pasukan underdog dalam Kumpulan B bergantung terhadap prestasi dua pemain Yangon Uni­ted, Kyaw Ko Ko dan Kyi Lin.

Mempertaruhkan rata-rata pemain bawah umur 25 tahun dengan tonggak paling tua adalah Win Min Thut yang berusia 28 tahun, ­Myanmar kini menghuni ranking 137 dunia, paling tinggi berbanding Singapura, Thailand dan Malaysia.

Dalam masa sama, Raddy turut bermain psikologi dengan Dollah apabila menghulurkan simpati kepada rakan sejawatnya itu kerana tidak mempunyai masa yang banyak untuk membentuk pasukan.

Berasakan setiap jurulatih perlu diberi waktu secukupnya bagi menghadapi kejohanan besar, dia berkata, Dollah berdepan cabaran besar dalam membentuk skuad yang mantap.

“Bagi kes Dollah, saya tahu dia menghadapi masalah kesuntukan masa dalam mendapatkan pasukan yang dimahukan.

“Jurulatih memerlukan sedikit masa untuk membentuk pasukan terbaik,” katanya. – MINGGUAN
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/madah-berhelah-raddy-1.27952#sthash.3NIFam6n.dpuf

No comments:

Post a Comment