AIZAWATI AHMAD | 01
Disember 2014 1:08 AM
PEMAIN-pemain Harimau Malaya
melambai kepada para penyokong Malaysia
PEMAIN-pemain Harimau Malaya
melambai kepada para penyokong Malaysia sebagai tanda terima kasih atas
sokongan mereka selepas menumpaskan Singapura 3-1 di Stadium Nasional,
Singapura kelmarin. – REUTERS
SEPANG - Hasil risikan yang
dibuat oleh jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee yang diterbangkan khas
ke Hanoi, Vietnam bagi meninjau aksi Kumpulan A, Piala AFF mungkin dapat
membantu pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh mengadun rencah terbaik untuk
dipersembahkan pada perlawanan separuh akhir pertama menentang Vietnam Ahad
ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, maklumat yang
disalurkan oleh Kim Swee nanti diyakini dapat membantu Dollah untuk mengenal
pasti corak permainan dan strategi yang mungkin digunakan pasukan lawan.
“Pada hari Selasa (esok) kita
ada mesyuarat tertutup dengan Ong Kim Swee yang akan membentangkan laporan
penuh kepada Dollah mengenai hasil pemantauan beliau di Hanoi.
“Jadi kita ada mesyuarat
tertutup teknikal bersama kedua-dua jurulatih bagi mengenal pasti corak dan
juga melihat dari segi taktikal untuk kita lawan Vietnam pada Ahad ini serta di
Hanoi 11 haribulan,” katanya kepada pemberita sebaik tiba dari Singapura di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.
Menurut beliau, FAM telah
menghantar Kim Swee ke Hanoi sejak awal peringkat kumpulan Piala AFF bagi
menyaksikan kesemua perlawanan di sana dan diyakini jurulatih itu mampu
menyalurkan maklumat penting, selain memanfaatkan pengalaman bermain menentang
Vietnam dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
Pertembungan menentang Vietnam
boleh diibaratkan seperti perlawanan ulangan separuh akhir empat tahun lalu
yang menyaksikan Harimau Malaya, yang ketika itu dibimbing oleh Datuk K.
Rajagobal, berjaya menjinakkan lawan mereka untuk ke perlawanan akhir dan
akhirnya menjulang Piala AFF.
Mengulas mengenai dua tonggak
pasukan, Amri Yahyah dan ketua pasukan Shukor Adan yang tidak dapat beraksi
pada separuh akhir pertama ekoran digantung kerana menerima dua kad kuning,
Hamidin memberitahu, beliau tetap yakin semangat para pemain tidak akan
terjejas, malah berada pada tahap yang tinggi setelah mengalahkan juara
bertahan Singapura.
“Saya kira mustahak semangat
pemain begitu tinggi dan kita harap keharmonian pasukan ini dapat terus kita
jaga hingga separuh akhir, sudah tentu kita tak akan lepaskan peluang untuk ke
perlawanan akhir,” ujarnya yang juga penolong pengurus pasukan.
Ditanya mengenai kemenangan
skuad kebangsaan ke atas Singapura, kelmarin, beliau berkata, kejayaan
tersebut merupakan hasil komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan selama
ini.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-jadi-perisik-di-hanoi-1.31182#sthash.BNCzuSmK.dpuf
No comments:
Post a Comment