Ad

Sunday, 30 November 2014

Ibarat kisah Cinderella



MUHAMMAD DAYNE AZMIN  |  01 Disember 2014 12:41 AM
 Pemain-pemain Malaysia  meraikan gol ketiga mereka yang dijaringkan
Pemain-pemain Malaysia meraikan gol ketiga mereka yang dijaringkan

Pemain-pemain Malaysia meraikan gol ketiga mereka yang dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin dalam perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapura kelmarin. – UTUSAN/Abdul Razak Latif

SINGAPURA – Meresahkan pada permulaan namun di penghujung­nya berakhir dengan cerita menggembirakan pada saingan Kumpulan B Piala AFF 2014.

Walaupun dihujani pelbagai kriti­kan pedas selepas dua perlawanan berdepan Myanmar dan Thailand, Dollah Salleh ternyata ada magisnya yang tersendiri untuk membawa Harimau Malaya ke separuh akhir Piala AFF edisi ke-10.

Siapa sangka ketika permainan sudah memasuki masa kecederaan dan Singapura semakin hampir ke gerbang separuh akhir, sepakan penalti yang diterima mengubah segala perjalanan cerita Harimau Malaysia.

Safiq Rahim tenang menyempurnakan sepakan berkenaan sebelum Indra Putra Mahyuddin menyempurnakan memori indah buat 1,000 penyokong negara yang hadir di Stadium Nasional, Kallang dan 27 juta rakyat Malaysia.

Kejayaan layak ke separuh akhir bagaimanapun tidak wajar membuatkan anak-anak buah Dollah berasa terlalu yakin sebelum menghadapi Vietnam pada aksi timbal balik pertama, pada Ahad ini di Stadium Shah Alam.

Masih ada satu perkara yang wajar dibimbangkan iaitu siapakah boleh menggantikan tempat Shukor Adan dan Mohd. Amri Yahyah yang digantung satu per­lawanan selepas me­ngutip kad kuning kedua dalam usaha mencari bekalan selesa ke Hanoi.

Jika S. Kunanlan sempat cergas sebelum perlawanan pada 7 Disember ini, dia mungkin menjadi jawapan terbaik kepada kehilangan Amri di posisi sayap kiri.

Cuma apa yang merisaukan ialah siapakah calon terbaik untuk digandingkan bersama Mohd.Muslim Ahmad di bahagian pertahanan sama ada Afif Amirudin atau Mohd.Fadhli Shas.

Daripada aspek permainan, Safiq Rahim dan Gary Steven Robbat terus wajar diberikan peranan di bahagian tengah dengan apa yang mereka tunjukkan ketika berdepan Singapura.

Mereka menjadi jawapan terbaik kepada Dollah selepas aksi Myanmar dan Thailand, bahagian tengah menjadi posisi paling membimbangkan.

Selain itu, prestasi Norshahrul Idlan Talaha belum berada di tahap terbaik dan graf prestasinya ketika berdepan Singapura menampakkan sedikit peningkatan namun masih belum membuatkan Dollah berpuas hati seperti mana Safee Sali.

Di gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat wajar dikekalkan selaku penjaga gol nombor satu melalui aksi cemerlang ditampilkan dalam ketiga-tiga perlawanan.

Bertemu Vietnam yang serba pantas permainannya, Dollah wajar mempertingkatkan tempo permainan anak-anak buahnya jika mahu memasang impian ke final Piala AFF.

Tiada yang mustahil buat Harimau Malaya untuk mengejutkan Vietnam yang diletakkan salah satu pasukan pilihan selain Thailand dalam Piala AFF kali ini.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ibarat-kisah-cinderella-1.31146#sthash.NLNozneN.dpuf

No comments:

Post a Comment