Ad

Monday 24 November 2014

Ann Osman kebanggaan negara



 
Ann Osman kebanggaan negara
NAMA Ann Osman mula menjadi subjek utama dalam beberapa majalah antarabangsa termasuk TIME selepas dia memegang status selaku atlet gabungan seni mempertahankan diri (MMA) wanita pertama dari Malaysia yang berjaya meraih kejayaan pada Kejuaraan ONE FC.

Meskipun berjaya meloloskan diri dalam sukan yang sejak sekian lama didominasi atlet lelaki, namun jaguh MMA kelahiran Sabah ini bagaimanapun tetap merendah diri dengan menegaskan perjalanan kariernya baru bermula.

Dia sudah dua kali bergelar juara kategori Flyweight di gelanggang ONE FC dan ia dianggap sebagai detik permulaan buatnya meraih lebih banyak kejuaraan pada musim depan. Bagi mengupas pembabitannya dalam sukan tersebut, ikuti temu bual bersama Ann yang juga merupakan ahli perniagaan berjaya dari Sabah.

MMA merupakankan gabungan acara sukan termausk tinju dan seni mempertahankan diri yang lain.

KOSMO!: Bagaimana anda mahu dikenali terutama peminat yang baharu mengenali anda?

ANN : Saya berasal dari Kota Kinbabalu Sabah. Saya adalah petinju profesional MMA (gabungan acara tinju dan seni mempertahankan diri) dan sangat berbangga dapat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa terutama pada Kejuaraan Tinju ONE FC. Di samping terlibat dalam sukan seni mempertahankan diri dan bertinju, saya juga sibuk menguruskan syarikat Travel Advanture milik saya di Sabah yang baru saja dilancarkan.

BAGAIMANA anda membahagikan masa antara latihan dan perniagaan?

SUDAH tentu banyak masa yang perlu dibahagikan di mana saya perlu mengatur dengan baik jadual saya setiap hari. Bagaimanapun, saya tidak pernah meninggalkan latihan. Saya agak bertuah kerana masa saya agak fleksibel dan semuanya bergantung kepada bagaimana saya menguruskan rutin harian saya. Namun secara jujur, MMA lebih daripada satu karier kepada saya.

ANTARA bertinju dan bekerja, mana yang lebih penting buat anda?

ANN (dua dari kiri) ketika diperkenalkan di gelanggang sebelum aksi menentang peserta dari Mesir pada ONE FC di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KEDUA-DUANYA sangat penting. Namun, seni mempertahankan diri menjadi satu keperluan kepada saya. Ia sesuatu yang saya lakukan secara profesional dan sepenuh masa. Begitupun, perniagaan adalah sebahagian daripada kehidupan saya. Saya gembira melakukan kedua-duanya.

ADAKAH sukan MMA ini popular di Sabah?

DI Sabah, seni mempertahankan diri semakin digemari dan ramai penduduk di sana mula menyertainya. Seperti saya, kami mempunyai darah kepahlawanan yang sangat tinggi. Kebanyakkan nenek moyang kami adalah pahlawan di Sabah. Meskipun MMA baru bertapak di Malaysia, saya lihat ia berkembang dengan begitu pantas dan banyak perubahan yang telah berlaku. Di Sabah, kami sudah mempunyai lima petinju terhebat yang sedang meningkat naik.

SEBAGAI petinju MMA wanita pertama yang berjaya di Malaysia, adakah anda berjaya menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain di kalangan komuniti anda?

ANN: Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai model rujukan kepada gadis lain di luar sana. Namun, saya berharap ia mampu menjadi sumber inspirasi kepada mereka. Ini kerana, apabila saya memilih untuk bertinju, saya melakukannya dengan sepenuh hati. Ia penting untuk memastikan saya sentisa aktif dan mempertahankan diri. Jadi, ia mungkin boleh menjadi sumber inspirasi.

APA perasaan anda apabila menjadi wanita pertama dari Malaysia yang menjuarai Kejohanan ONE FC, bukan satu tetapi dua kali pada tahun ini?

PERTAMANYA, sudah tentu ia sangat mengujakan. Saya sangat berbangga apabila dapat mewakili Malaysia terutama menjadi wanita pertama di negara ini beraksi di pentas antarabangsa MMC. Bukan setakat menyertai tetapi berjaya mencatat keputusan terbaik pada Kejuaraan ONE FC. Jadi, saya sangat berterima kasih kepada ONE FC yang memberi peluang kepada saya malah kepada semua yang memberi sokongan.

DETIK bersejarah buat Ann apabila muncul juara ONE FC kategori Flyweight selepas menewaskan Ana Julaton dari Filipina pada saingan yang berlangsung di Dubai Ogos lalu.

BAGAIMANA jurulatih anda, AJ ‘Pyro’ Lias Mansor?

SUDAH tentu saya sangat menghargai tunjuk ajarnya dan dia merupakan individu terpenting terhadap kejayaan saya dalam MMA. Dia sentiasa menyokong dan membantu saya.

Sudah tentu ramai yang tahu, AJ adalah pengasas dan petinju seni mempertahankan diri MMA di Malaysia malah dia pernah bergelar juara. Dia yang sering memberi galakkan dan menjadi sumber inspirasi kepada saya. Banyak yang saya pelajari daripada AJ terutama aspek teknikal ketika berlawan.

BAGAIMANA persepsi orang ramai mengenai wanita beragama Islam seperti anda yang menyertai Kkejuaraan ONE FC?

SEBENARNYA ramai yang berminat untuk melihat wanita Islam bertanding dan berjaya di peringkat ONE FC dan MMA secara profesional. Ia merupakan satu idea yang sangat bernas bagi mereka, malah telah berjaya menarik perhatian peminat di peringkat antarabangsa.

Seni mempertahankan diri telah bertapak sejak lama namun bagi wanita, penyertaannya masih sedikit. Saya sentiasa bersedia membantu mengembangkan sukan seni mempertahankan diri ini. Bagaimanapun, saya tidak fikir ramai yang menyukai saya berada di dalam gelanggang. Saya mendapat banyak maklum balas dan komen, namun bersyukur kerana lebih banyak pandangan positif berbanding negatif.

BAGAIMANA anda boleh menyertai MMA dan ONE FC?

SAYA telah berlatih dalam sukan seni mempertahankan diri selama tiga tahun namun melakukannya secara profesional hanya satu setengah tahun yang lalu apabila menyertai ONE FC. Pada mulanya, saya hanya mahu belajar teknik kecergasan dan mempertahankan diri. Sebenarnya, ia hanya gabungan senamam. Saya bertinju, muay Thai, gusti dan banyak lagi. Selepas itu, saya menyertai pertandingan amatur di beberapa kejohanan Muay Thai dan MMA tempatan dan sangat bertuah kerana ditawarkan menyertai Kejuaraan ONE FC. Saya membuat kemunculan pertama pada 2013 dengan menentang Shyrlin Lim dari Singapura.

Saya menggunakan peluang itu sebaiknya kerana setiap latihan dan kerja keras saya hanya untuk memastikan saya berada di tahap yang lebih tinggi.

SUDAH pasti anda akan kelihatan sangat menakutkan dan garang ketika berlawan. Bagaimana anda berdepan persepsi orang ramai mengenai perkara tersebut?

MEMANG tidak dapat dinafikan dan memang ramai yang melabelkan saya ni garang, namun saya tidak pedulikannya kerana saya tahu siapa diri saya yang sebenarnya. Saya masih mengekalkan sifat femimin di luar gelanggang dan sudah tentu sifat saya berubah ketika berada di dalam gelanggang. Ia adalah tempat di mana saya menemui diri saya dan saya menggunakan segala apa yang dipelajari selama bertahun-tahun ketika berada di gelanggang.

SEBAGAI rekod, anda menang di ONE FC sebanyak dua kali dan kalah sekali? Apa perasaan anda ketika memenanginya buat pertama kali di Dubai pada Ogos lalu dengan menewaskan petinju dari Filipina, Ana Julaton?

KEMENANGAN itu benar-benar melonjakkan semangat saya dalam arena MMA. Ia kemenangan sulung saya dan sudah tentu sangat mengujakan. Saya menyertai perlawanan di Dubai tepat pada masanya kerana saya baharu saja melancarkan perniagaan saya.

Saya hanya mempunyai empat minggu untuk berlatih dan bersedia menghadapinya. Ia kejayaan terbesar buat saya kerana Julaton merupakan juara ONE FC dan dia adalah petinju profesional. Kejayaan menewaskan seorang juara sangat bermakna bagi saya.

APA yang anda pelajari daripada kekalahan pertama ke atas Sherilyn Lim di ONE FC pada 2013, di mana ia adalah perlawanan pertama anda di gelanggang ONE FC?

SAYA terus melangkah ke hadapan. Perlawanan itu adalah penyertaan pertama saya dan kekalahan itu langsung tidak mematahkan semangat saya. Ia pengalaman paling berharga dan saya terus belajar, berlatih dengan lebih keras dan terus bergerak ke hadapan.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1124&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3JyVzcD8CHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment