FADHILUL IZMEL ISHAK | 15
November 2014 1:32 AM
KUALA LUMPUR - “Awak beritahu
saya siapa lagi yang layak beraksi? Mereka (pengkritik) hanya tahu mengkritik
dari luar tapi saya sendiri yang melatih pemain dan saya tahu kemampuan
mereka.”
Itu tegas jurulatih bola sepak
kebangsaan, Dollah Salleh beberapa jam sebelum skuad Harimau Malaya berlepas ke
Hanoi semalam, untuk berdepan Vietnam dalam perlawanan persahabatan esok.
Perlawanan di Stadium My Dinh
esok merupakan peluang terakhir buat Dollah untuk menguji keserasian pemain dan
mencari barisan terbaik sebelum mereka ke pentas sebenar di Singapura untuk
Kejohanan AFF.
Walaupun prestasi hambar
Harimau Malaya ketika tewas 0-3 kepada Syria mendapat kritikan hebat peminat
bola sepak tanahair, namun Dollah tetap akan menurunkan barisan yang sama
apabila berdepan Vietnam.
Tegas Dollah, barisan pemain
yang diturunkan ketika menentang Syria di Stadium Shah Alam Rabu lalu merupakan
skuad terbaik yang dimilikinya buat masa ini.
Walaupun ada yang mengatakan
tindakan bekas jurulatih Pahang dan PDRM itu menurunkan beberapa pemain yang
sebelum ini dilihat lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan dalam
pasukan negeri atau kelab masing-masing sebagai punca kekalahan, namun Dollah
menyangkal dakwaan tersebut.
“Bagi menghadapi Vietnam (esok)
saya tetap akan menurunkan barisan pemain sedia ada. Saya yakin dengan
kemampuan mereka kerana saya yang memilih mereka,” katanya kepada Utusan
Malaysia semalam.
Dalam pertemuan menentang
Syria, pertahanan Malaysia tampak amat rapuh dengan membenarkan lawan mudah
membolosi kubu mereka, terutama pada separuh masa kedua.
Harimau Malaya membariskan
Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Shukor Adan, Muslim Ahmad dan Mahalli Jasulli di
bahagian benteng dalam kesebelasan pertama, manakala Mohd. Aidil Zafuan Abd.
Radzak dibawa masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Dalam perlawanan menentang
Syria, Dollah tidak menolak kemungkinan pemainnya sedikit keletihan selepas
beraksi dalam liga domestik hingga menyebabkan mereka kurang fokus.
“Dalam perlawanan itu
(menentang Syria) kami bermain dengan bagus pada babak pertama walaupun pihak
lawan mendahului 1-0, namun keadaan berubah apabila mereka memperoleh gol kedua
dan pada waktu itu saya lihat pemain seperti hilang fokus.
“Bagi menghadapi Vietnam saya
akan menekankan kepada pemain macam mana hendak fokus serta mengekalkan
prestasi walaupun sudah ketinggalan. Saya tidak mahu mereka cepat kecewa setiap
kali lawan mendahului kita,” katanya.
Skuad Harimau Malaya berlepas
ke Hanoi untuk menghadapi Vietnam dalam perlawanan persahabatan terakhir
sebelum memulakan kempen dalam Kejohanan AFF yang bermula Ahad depan.
Malaysia berdepan laluan sukar
di Kota Singa kali ini apabila diundi bersama juara bertahan, Singapura dan
juara tiga kali Thailand, selain Myanmar dalam Kumpulan B.
Untuk menambah masalah kepada
Dollah, pemain sayap kiri R. Gopinathan dan tonggak pertahanan Aidil tidak
dapat menyertai latihan sesi pagi semalam kerana mengalami kecederaan lutut,
namun status mereka masih belum dapat dipastikan.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-merekalah-pemain-terbaik-kita-8217-1.24714#sthash.GRkZ2dJm.dpuf
No comments:
Post a Comment