Ad

Thursday, 27 November 2014

Harimau Malaya mengharap keajaiban




 
SAFEE tampil dengan aksi bertenaga selepas diberi kepercayaan mengisi kesebelasan utama skuad Harimau Malaya pada aksi menentang Thailand semalam.

HANYA keajaiban sahaja mampu membantu skuad Harimau Malaya melangkah ke pusingan separuh akhir kempen Piala AFF Suzuki 2014 selepas tewas 2-3 kepada Thailand pada aksi kedua peringkat Kumpulan B di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam.

Atas kertas, peluang skuad kendalian Dollah Salleh itu sudah hampir tertutup selepas sekadar meraih satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan dengan Myanmar pada aksi pembukaan, Ahad lalu.

Harimau Malaya kini tiada pilihan lain kecuali menang ke atas Singapura pada aksi terakir Kumpulan B, Sabtu ini dan jika gagal lagi, mereka bakal pulang awal daripada kempen tahun ini.

Singapura hanya perlu menang pada perlawanan terakhir itu nanti selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Myanmar pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura semalam.

Bagaimanapun, Dollah masih enggan untuk mengibar ‘bendera putih’ biarpun mengakui peluang skuad negara kini nampak sukar.

Dia tetap optimis bahawa skuad Harimau Malaya mampu mengatasiSingapura, sekali gus merealisasikan misi melangkah ke sepruh akhir.

“Saya tetap puas hati dan berbangga dengan persembahan anak-anak buah saya tetapi malangnya, keputusan tidak memihak kepada kami.

“Saya masih yakin bahawa peluang kami masih terbuka dan jika kami bermain seperti menentang Thailand malam ini (semalam) pada aksi menentang Singapura nanti, saya yakin kami mampu meraih kemenangan.

“Saya fikir kami telah lakukan yang terbaik terutama persembahan Safee Sali yang baharu bermain buat kali pertama sejak tiga bulan lalu.

“Namun, para pemian dilihat mula hilang fokus pada minit-minit terakhir babak kedua yang menyaksikan kami melepaskan dua gol mudah. Saya harap keadaan ini tidak berulang pada aksi menentang Singapura nanti.

“Namun, saya tahu barisan pemain saya akan berjuang habis-habisan pada aksi terakhir itu nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan semalam, Harimau Malaya mendahului perlawanan menerusi jaringan Amri Yahyah pada minit ke-28.

Namun, kelebihan skuad negara tidak bertahan lama apabila pemain gantian Thailand, Adisak Kraisorn menyamakan kedudukan pada minit ke-43.

Harimau Malaya kembali mendahului menerusi jaringan Safiq Rahim pada minit ke-60 tetapi Charyl Yannic Chappuis pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-72.

Adisak memastikan tiga mata menjadi milik skuad Gajah Putih itu apabila meledak gol kemenangan pada minit-minit terakhir separuh masa kedua.

Kemenangan tersebut sekali gus mengesahkan kedudukan Thailand ke separuh akhir dan mereka menjadi pasukan kedua melayakkan diri selepas Filina daripada Kumpulan A.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3KHkeaNOdHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment