Ad

Tuesday, 25 November 2014

Safee sedia bukti ketajaman



Singapura: Pertembungan dengan Thailand di Stadium Jalan Besar hari ini bukanlah misi hidup mati Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2014 namun kekalahan dalam perlawanan kedua Kumpulan B itu ibarat ‘mencari sakit’ buat anak buah Dollah Salleh.

Malaysia meraih satu mata berharga dengan aksi 10 pemain ketika seri dengan Myanmar 0-0 Ahad lalu dan mereka tidak boleh terus keciciran mata bagi mengelak tekanan pada perlawanan terakhir menentang tuan rumah Singapura Sabtu ini.

Mungkin ramai pihak tidak meletakkan harapan untuk Harimau Malaya mengatasi juara tiga kali Thailand yang hadir dengan reputasi pasukan pilihan biarpun membariskan pemain muda skuad bawah 23 tahun Sukan Asia Incheon edisi ke-10 Piala AFF.

Malah rekod pertemuan kedua-dua pasukan lebih memihak kepada skuad Gajah Perang itu dengan tiga kemenangan daripada lima pertemuan sejak 2008 termasuk separuh akhir kedua Piala AFF dua tahun lalu.

Dollah perlu mencari senjata baru dan mungkin menurunkan pemenang kasut emas Piala AFF 2010 Mohd Safee Sali untuk menamatkan badi tidak pernah menang ke atas Thailand sejak Pestabola Merdeka 2006.

Safee bukan lagi pilihan utama Dollah yang menggunakan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Amri Yahyah di bahagian serangan pada perlawanan dengan Myanmar serta beberapa aksi persahabatan sebelum ini namun kejutan mungkin akan berlaku.

“Saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri, tiada apa yang perlu saya buktikan sebaliknya jika diberi peluang, hanya mahu membantu pasukan meraih keputusan baik.

“Tahap kecergasan bukan masalah, cuma saya perlu mengembalikan semula keyakinan diri. Saya harap sedikit tuah untuk menjaringkan gol,” kata Safee yang kerap dilanda kecederaan sebelum ini.

Selain Safee, khidmat pemain perancang Safiq Rahim dijangka bakal digunakan semula pengendali negara selepas ketiadaan Gary Steven Robbat yang digantung perlawanan kerana menerima kad merah pada aksi pertama.

“Saya sudah mendapat rentak walaupun hanya beraksi selama 20 minit sebelum ini. Saya tiada masalah bergandingan dengan Shukor Adan tapi jurulatih masih mempunyai pilihan pemain lain seperti Badhri Radzi, Hafiz Kamal dan Baddrol Bakhtiar.

“Bagi saya tahap pasukan di Asia Tenggara ini sama saja jadi kami tidak perlu takut. Dulu kami juga tidak diberikan harapan tinggi tapi masih mampu layak ke peringkat seterusnya,” kata kapten skuad juara 2010 itu.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:30 AM
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/11832#sthash.Y3Wbou2m.dpuf

No comments:

Post a Comment