Ad

Sunday 16 November 2014

Norafizah cipta sejarah



Sepang: Siti Norafizah Muhammad mencipta sejarah sukan permotoran Malaysia apabila dinobatkan sebagai juara wanita pertama selepas menjulang gelaran juara keseluruhan Super Siri Malaysia (MSS) sekali gus mengungguli Kejuaraan Terbuka 250cc di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Pelumba yang lebih dikenali sebagai Fifi, beraksi bersama Bike Art Racing mengesahkan status juara keseluruhan selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua Perlumbaan 2 untuk mengutip 20 mata kejuaraan meletakkannya dua mata di depan Muhammad Jazli Juraimi (Chia PJ Racing Team) selepas berakhir lima pusingan.

Dengan mencatat lima kemenangan podium dan tiga kedudukan tempat kedua, Fifi mengumpul 209 mata mengatasi mata dikumpul Jazli, 207 mata.

Muhammad Fazli Mansuar berada di tempat ketiga dengan 172 mata dan Vinod Dhanabala keempat keseluruhan dengan 119 mata. Angelo Neo kelima 114 mata.

Sebaik menamatkan perlumbaan, Fifi yang menjerit kegembiraan menyifatkan kejayaan diraihnya itu hasil sokongan rakan sepasukan Muhammad Fazli yang memenangi kedua-dua pusingan perlumbaan.

“Saya mahu mengatakan kejayaan ini adalah usaha berpasukan. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Fazli atas sokongannya. Kami menghadapi dua perlumbaan terakhir sebagai satu pasukan dan mengesahkan kedudukan 1-2 yang membolehkan saya memenangi gelaran keseluruhan.

“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pelatih saya di Bike Art Racing Team terutamanya ketua pasukan, Ahmad Zamani (Baharuddin).

“Saya gembira dengan kemenangan ini dan memang tidak dijangka. Sewaktu memulakan kejuaraan, saya tidak meletak sebarang sasaran tetapi selepas tiga pusingan, saya mendapati diri saya berada dalam kedudukan pencabar utama dan meningkatkan usaha memburu kejuaraan.

“Saya bersyukur memenanginya,” kata pelumba kelahiran Johor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:05 AM
NORAFIZAH (kiri) pamer aksi mantap.
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/9344#sthash.qxPr4hhR.dpu

No comments:

Post a Comment