Perlu tumbangkan Singa dalam
perlawanan Sabtu ini
27 November 2014 2:23 AM
WAJAH pemain-pemain Malaysia
sugul ketika mereka berjalan keluar
WAJAH pemain-pemain Malaysia
sugul ketika mereka berjalan keluar dari padang selepas tewas 2-3 kepada
Thailand pada perlawanan kedua Kumpulan B, Piala AFF 2014 di Stadium Jalan
Besar, Singapura semalam.
SINGAPURA - Kem Harimau Malaya
pasti tidak dapat tidur lena malam tadi setelah menempuh pengalaman pahit
apabila mendahului dua kali hanya untuk tewas 2-3 kepada Thailand yang
memperoleh gol kemenangan pada minit ke-88 menerusi Adisak Kraisorn.
Namun, anak-anak buah Dollah
Salleh boleh berasa bangga kerana mereka telah mengerah ‘kudrat tua’ mereka
untuk menyaingi skuad Gajah Putih yang menjadi pilihan utama kejohanan dalam
perlawanan kedua Kumpulan B, Piala AFF di Stadium Jalan Besar malam tadi.
Kelekaan pemain pertahanan
terutama Afif Amiruddin mengawal Adisak terpaksa dibayar dengan harga mahal
sekalipun Harimau Malaya boleh menamatkan permainan itu dengan meraih
sekurang-kurangnya satu mata.
Walaupun tewas, hayat Harimau
Malaya dalam kejohanan dwitahunan ini masih belum berakhir, tetapi perlu
menewaskan Singapura di hadapan para penyokong mereka di Stadium Nasional Sabtu
ini untuk muncul naib juara kumpulan dan mengiringi Thailand yang telah layak
ke separuh akhir dengan kemenangan ke atas Malaysia.
Impian itu tidak mustahil untuk
dilakukan memandangkan skuad Singa juga menghadapi masalah kerana kehilangan
Baihakki Khaizan yang digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning
kedua ketika bertemu Myanmar dalam satu lagi perlawanan manakala Shahdan
Sulaiman patah buku lali.
Harimau Malaya kini menduduki
tempat ketiga di dalam kumpulan, berkongsi satu mata dengan Myanmar sementara
Singapura yang menang 4-2 di Stadium Nasional, hanya memerlukan seri dalam aksi
terakhir bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Dollah juga tidak mahu para
pemainnya putus asa kerana peluang ke separuh akhir masih ada buat mereka
dengan syarat memperbaiki masalah konsentrasi di minit akhir permainan bagi
menewaskan Singapura.
“Saya tetap gembira dengan
persembahan para pemain. Walaupun keputusan tidak memihak kepada kami namun
perjuangan masih belum berakhir, masih ada satu perlawanan yang kami kena
lalui.
“Di dalam hati saya, saya yakin
pasukan ini masih boleh membuktikan sesuatu dalam perlawanan terakhir (berdepan
Singapura), in sya Allah. Sudah tentu keputusan ini dilihat sesuatu yang tidak
adil tetapi kami dihukum atas kelekaan di minit terakhir permainan.
“Kami akan berjuang
bermati-matian apabila bertemu Singapura dan para pemain masih bermotivasi
untuk bertemu Singapura pada Sabtu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas
perlawanan.
Mohd. Amri Yahyah menggegarkan
Stadium Jalan Besar melalui gol pembukaan pada minit ke-28 menerusi sepakan
leret hasil gerakan bersama Safiq Rahim tetapi kelebihan yang dimiliki
anak-anak buah Dollah Salleh tidak bertahan lama apabila Adisak Kraisorn yang
baru dibawa masuk menggantikan Kirati Keawsombut menyamakan kedudukan pada
penghujung babak pertama.
Bagaimanapun, Safiq memastikan
Harimau Malaya kembali di hadapan apabila memperdayakan tiga pertahanan
Thailand sebelum tenang menewaskan Kawin Thamsatchanan pada minit ke-60 sebelum
Thailand sekali lagi meletakkan permainan dalam keadaan seimbang apabila Charyl
Chappuis menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-72.
Adisak akhirnya mengecewakan 28
juta rakyat Malaysia apabila bijak memperdayakan pertahanan PDRM, Afif sebelum
merembat kencang untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Dollah memuji persembahan para
pemainnya terutama Safee Sali yang memberikan aksi positif biarpun jarang
beraksi sepenuh masa bersama kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di samping
mempertahan keputusannya mengeluarkan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-70
untuk digantikan dengan Abdul Manaf Mamat.
“Saya rasa Safee beraksi cukup
baik hari ini walaupun dia sudah dua ke tiga bulan tidak beraksi sepenuh masa
dan saya harap dia boleh meneruskan aksi sebegini, begitu juga dengan Manaf
Mamat serta Indra Putra (Mahyuddin).
“Saya mengeluarkan Norshahrul
adalah kerana saya rasa dia tidak begitu cemerlang pada malam ini dan tidak
banyak membantu, itu sebab saya menukarkan dia dengan Manaf,” katanya. – UTUSAN
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/bukan-rezeki-harimau-1.29755#sthash.s0DogZcc.dpuf
No comments:
Post a Comment