Bukan salah Dollah – Namat
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
BEKAS pemain kebangsaan, Datuk
Namat Abdullah menggesa peminat-peminat bola sepak tempatan agar tidak cepat
melatah dengan prestasi hambar skuad Harimau Malaya menjelang aksi kejohanan
Piala AFF Suzuki 2014 yang bakal membuka tirai pada 23 November ini.
Pasukan kebangsaan dikritik
hebat oleh penyokong-penyokong selepas menyaksikan kekalahan 0-3 kepada Syria
pada aksi pemanas badan di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.
Berikutan kekalahan itu,
sebahagian besar pengkritik mula menganggap peluang skuad bimbingan Dollah
Salleh dilihat tidak begitu cerah dalam misi untuk memburu pentas final Piala
AFF Suzuki apabila diundi bersama Singapura, Thailand dan Myanmar dalam aksi
Kumpulan A.
Bagaimanapun, Namat menegaskan,
ia satu perbuatan tidak adil untuk meletakkan prestasi hambar pasukan
kebangsaan di bahu Dollah.
Sebaliknya, Namat yakin bahawa
Dollah adalah calon yang tepat untuk mengemudi pasukan kebangsaan biarpun
Harimau Malaya mula dikritik hebat sebelum turun ke Piala AFF Suzuki tahun ini.
“Bukan salah Dollah. Tidak adil
buat beliau kerana kita seharusnya memberikan peluang kepada Dollah.
“Bayangkan, beliau bersama
pasukan selepas berakhir Piala Malaysia dan jika dikumpulkan semua masa, Dollah
baharu bersama Harimau Malaya tak sampai sebulan.
“Umum mengetahui Dollah baharu
dilantik sebagai jurulatih kebangsaan dan saya akui, (aksi menentang Syria)
begitu longgar. Banyak kelemahan antaranya persefahaman tak mantap.
“Apapun, beliau masih ada
peluang untuk memperbaiki kembali kelemahan itu ketika berdepan Vietnam untuk
aksi terakhir persahabatan Harimau Malaya sebelum berlepas ke Singapura nanti,”
katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Ketika ditanya mengenai peluang
skuad negara, Namat tanpa berselindung memberikan sokongan teguh kepada Dollah
yang mana beliau yakin skuad Harimau Malaya masih berupaya untuk membuat
kejutan dan layak ke separuh akhir Piala AFF Suzuki.
“Ramalan saya, skuad negara
kita mampu melepasi peringkat kumpulan pada tahun ini. Saya berharap kita dapat
memperbaiki segala kelemahan ketika menentang Vietnam nanti.
“Sebenarnya, kita masih ada
kualiti cuma saya melihat beberapa pemain masih tidak dapat menyesuaikan diri
dengan taktik pencaturan Dollah ketika menentang Syria,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3J5nWqL2LHakcipta
terpelihara
No comments:
Post a Comment