Ad

Thursday, 6 November 2014

‘Bayarlah balik, wang itu bukan milik anda’




Oleh ZULKIFLI JALIL (pengarang@utusan.com.my)  |  07 November 2014 2:55 AM

PTPTN menyediakan pelbagai kaedah bayaran balik pinjaman tetapi
PTPTN menyediakan pelbagai kaedah bayaran balik pinjaman tetapi

PTPTN menyediakan pelbagai kaedah bayaran balik pinjaman tetapi masih ramai peminjam yang ‘liat’ untuk membayar balik pinjaman yang telah dibuat.

MENYIRAP juga darah mendengar betapa degilnya 173,985 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) enggan membuat pembayaran balik.

Mereka ini adalah golongan yang tidak membayar satu sen pun dalam tempoh tiga tahun sejak 1998. Sepatutnya pembayaran balik dibuat antara 1998 hingga 2010, tapi malangnya tak nampak kelibat batang hidung.

Kalau diikutkan, peminjam yang paling tua dalam kategori ‘tak ada hati perut’ ini berumur 37 tahun. Takkanlah tidak bekerja lagi.

Penulis dimaklumkan oleh Ke­tua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Mastura Mohd. Khalid melalui telefon semalam, semasa era golongan ini meminjam, mereka ini menggunakan alamat di kampus dan rumah sewa dalam surat perjanjian. Sama ada notis sampai kepada mereka atau tidak, sudah sewajarnya ada kesedaran dalam diri bahawa wang itu bukan milik mereka.

Wang bayaran balik itu kepunyaan pelajar-pelajar selepas mereka.

Disebabkan perbuatan ‘tidak beretika ini’, tempias terkena kepada pelajar-pelajar baharu sehinggakan PTPTN terpaksa membuat pelarasan semula pinjaman mereka.

PTPTN sendiri sebenarnya terpaksa membuat pinjaman daripada institusi-institusi kewangan.

Walaupun di bawah jaminan kerajaan, pinjaman dihadkan setakat RM4 bilion. Tidak boleh meminjam banyak kerana faedah tinggi dikenakan antara lima hingga tujuh peratus.

Dengan peminjam cuma dikenakan faedah satu peratus atau paling minimum pun RM50 sebulan bayaran balik jika mereka berunding dengan PTPTN, sepatutnya tidak ada masalah. Tetapi lihatlah apa yang terjadi - liat benar.

Setiap tahun PTPTN menaja 200,000 pelajar. Untuk bulan ini (November) dan Disember nanti, akan ada kemasukan baharu ke institut pengajian tinggi, politeknik dan sebagainya. Kerana kedegilan hampir 174,000 orang ini enggan membayar balik pinjaman, satu penyelarasan pinjaman perlu dibuat. Misalnya, katakan PTPTN ada RM1,000. Terpaksalah diagihkan kini kepada 15 orang iaitu dalam jumlah RM66 seorang berbanding RM100 seorang untuk 10 orang sebelum ini. Biar kurang asalkan semua dapat walaupun ada keluarga peminjam merungut peraturan baharu ini.

PTPTN bagi penulis secara peribadi tidaklah kejam. Kedegilan peminjam enggan membayar balik satu sen pun tidak dihukum pula kepada adik-beradik atau sanak saudara mereka.

Namun, kalau seseorang itu ada ihsan dalam hati, dia pasti akan membayar balik.

Kita bagaimanapun menarik nafas lega apabila PTPTN membuat keputusan menyenaraikan 173,985 peminjam degil terbabit ke dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), berkuat kuasa 1 Ja­nuari 2015.

Maknanya selepas tempoh itu, andai kedegilan terus bersarang, mereka akan sukar membuat sebarang pinjaman daripada institusi kewangan.

Antaranya, membuat pinjaman peribadi, membeli kereta dan rumah.

Penulis cukup percaya, keberkatan akan hinggap pada diri kita - sama ada dikurniakan kesihatan diri, keluarga dan anak-anak yang baik - jika kita menunaikan tanggungjawab melunaskan apa yang kita pinjam.
-SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-bayarlah-balik-wang-itu-bukan-milik-anda-8217-1.21750#sthash.eufrmjc3.dpuf

No comments:

Post a Comment