KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih, Tai
Beng Hai kembali membimbing skuad hoki senior kebangsaan dan pengendali
sementara, Arul Selvaraj kembali memberi tumpuan penuh kepada skuad remaja
negara.
Beng Hai akan memegang tugas
itu untuk sementara sehingga Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mendapat khidmat
jurulatih asing sebagai jurulatih tetap skuad senior.
Timbalan Presiden MHC, Datuk
Nur Azmi Ahmad berkata Beng Hai diberi tanggungjawab mempersiapkan skuad senior
bagi menghadapi pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura pada 17 Januari
depan.
Menurutnya, Arul pula akan
terus melatih skuad remaja bagi menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia tahun
depan, sekali gus memburu tiket automatik ke Piala Dunia Remaja 2016 di New
Delhi.
Perubahan portfolio dua
jurulatih itu diputuskan oleh Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah,
kata Nur Azmi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan
skuad senior dan remaja kebangsaan di sini, hari ini.
Difahamkan, jurulatih kelahiran
Australia, Terry Walsh, yang kini membimbing skuad kebangsaan India, dikatakan
berada dalam radar MHC untuk dipilih sebagai ketua jurulatih tetap skuad
kebangsaan.
Walsh, bekas jurulatih Malaysia
pada 1990 hingga 1993, membawa India menjuarai Sukan Asia 2014 di Incheon,
Korea Selatan, baru-baru ini.
Pada pusingan kedua Liga Hoki
Dunia, lapan negara akan beraksi iaitu Malaysia, Singapura, Bangladesh, Jepun,
Fiji, Oman, Ukraine dan Poland.
Lima pasukan terbaik daripada
pusingan kedua itu akan menyertai pasukan tuan rumah ke peringkat separuh akhir
pertama dan kedua di Argentina dan Belgium.
Juara dan naib juara pusingan
kedua akan menyertai lapan pasukan yang berada di ranking pertama hingga
kelapan dunia serta pasukan tuan rumah akan bersaing dalam peringkat separuh
akhir.
Separuh akhir dibahagikan
kepada empat kumpulan dan dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak
ke pusingan akhir.
Dua pasukan terbaik dari setiap
kumpulan iaitu kesemua lapan pasukan akan bersaing dalam pusingan akhir di mana
lima pasukan terbaik selain tuan rumah dan juara benua masing-masing akan layak
ke Piala Dunia dan Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Sementara itu, Beng Hai ketika
ditemui selepas mesyuarat itu, berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab
itu untuk mempersiapkan pasukan bagi meraih tiket ke Sukan Olimpik 2016.
"Saya tidak akan melakukan
banyak perubahan dalam pemilihan pemain tetapi yang penting adalah tahap
kecergasan pemain," katanya yang pernah membimbing skuad negara pada 2008
sebelum digantikan dengan jurulatih kelahiran Afrika Selatan, Paul Revington
pada 2012. – BERNAMA
Sumber-Berita Harian online
6.11.2014
Tai Beng Hai (kiri) dan Arul
Selvaraj.
No comments:
Post a Comment