London: Pengurus Manchester United Louis van Gaal (gambar) perlu memanfaatkan keseluruhan pemain skuadnya pada kunjungan ke Arsenal dalam saingan Liga Perdana, awal pagi Ahad walaupun krisis kecederaan membelenggu Old Trafford.
Sebelum ini, Arsene Wenger
kerap berdepan masalah kehilangan pemain utama menjelang perlawanan besar,
namun kali ini United pula yang tidak dapat menggunakan khidmat 12 pemain
termasuk penjaga gol, David De Gea di Stadium Emirates.
United berdepan masalah di
benteng akhir dengan empat pertahanan utama tidak dapat diturunkan dan pengurus
dari Belanda, Van Gaal mungkin terpaksa memanggil pemain remaja Patrick McNair
dan Tyler Blackett untuk mengekang aksi bekas rakan sepasukan, Danny Welbeck.
Penyerang England, Welbeck
berada pada prestasi terbaik sejak perpindahan bernilai £16 juta (RM84.3 juta)
ke Arsenal pada September dan sudah meledak 10 jaringan untuk kelab dan
negaranya.
Arsenal meraih dua keputusan
mengecewakan sebelum rehat untuk aksi antarabangsa apabila membiarkan
Anderlecht bangkit mencatatkan keputusan seri 3-3 dalam Liga Juara-Juara dan
tewas 1-2 kepada Swansea City.
“Kami menentang United dan
Borussia Dortmund di laman sendiri dan jika mendapat sokongan dari awal serta
meraih keputusan baik, situasi akan berbeza,” kata kapten Arsenal Mikel Arteta.
Arsenal di kedudukan keenam
dengan 17 mata manakala United mengekori rapat, kurang satu mata.
Pendahulu liga, Chelsea menanti
kunjungan West Bromwich Albion esok dengan misi mengekalkan kelebihan empat
mata berbanding Southampton, yang berada di kedudukan kedua.
Liverpool yang berada di
kedudukan ke-11 dengan 14 mata selepas 11 perlawanan awal, bertandang menentang
pasukan bergelut Crystal Palace pada Ahad.
Anak buah Brendan Rodgers
berdepan memori pahit apabila mensia-siakan kelebihan tiga gol sebelum diikat
3-3 di Selhurst Park musim lalu sekali gus terpaksa melepaskan kejuaraan liga.
Keputusan seri dilihat tidak
bagus untuk naib juara liga itu namun kemenangan di gelanggang sama musim ini
mampu memberikan semangat pada masa yang tepat.
Pasukan di kedudukan kelima
Swansea City bertandang menentang juara liga Manchester City esok dengan West
Ham United yang berada di kedudukan keempat berdepan saingan sukar di Everton.
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 21 November 2014 @
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/10567#sthash.9D5gtXf8.dpuf
No comments:
Post a Comment