Aktiviti pertanian, pembangunan
dilakukan tanpa kawalan
Oleh SYUKRI SHAARI
dan ASLIZA MUSA
(pengarang@utusan.com.my) | 08 November 2014 2:37 AM
Kawasan berbukit yang ditarah
untuk ditanam sayur oleh pekebun
Kawasan berbukit yang ditarah
untuk ditanam sayur oleh pekebun dirakamkan di Blue Valley, Cameron Highlands,
Pahang, semalam. – UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin
CAMERON HIGHLANDS 7 Nov. -
Hampir keseluruhan tanah di daerah ini sedang diteroka sama ada secara sah atau
haram bagi tujuan pertanian dan juga pembangunan.
Presiden Persatuan Kesedaran
Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan berkata, meskipun perkara itu
dilakukan secara terang-terangan sejak beberapa tahun lalu, tiada tindakan
drastik diambil oleh kerajaan negeri serta pihak berkuasa.
Katanya, tiadanya pemantauan
ketat yang dilakukan oleh pihak berkuasa menyebabkan aktiviti meneroka tanah
pertanian secara haram semakin berleluasa.
“Kalau kawasan yang diterokai
itu adalah pedalaman, mungkin kerajaan negeri serta pihak berkuasa boleh beri
alasan terlepas pandang, tetapi aktiviti pencerobohan berlaku di tepi-tepi
jalan utama.
“Kami banyak terima aduan
daripada penduduk di sini bahawa berlakunya aktiviti penerokaan tanah di
kawasan yang jelas terpacak papan tanda dilarang menceroboh. Tetapi tiada
tindakan daripada pihak berkuasa, mereka seolah-olah bersikap lepas tangan dan
tidak melakukan pemantauan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai
bencana banjir kilat kedua yang melanda daerah ini dalam tempoh dua tahun yang
telah mengorbankan sembilan nyawa.
Mengulas lanjut, Ramakrishnan
juga menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan racun serangga secara tidak terkawal.
Katanya, hasil tanaman di
negeri ini tidak lagi diterima oleh Singapura kerana faktor racun tersebut yang
boleh membahayakan kesihatan orang ramai.
“Selain itu, pembangunan projek
di negeri ini diluluskan tanpa kawalan. Tiada pemantauan dilakukan terhadap
projek pembangunan menyebabkan faktor keselamatan sekitar kawasan ini boleh
dipertikaikan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, menurut seorang
aktivis alam sekitar yang hanya mahu dikenali sebagai Raja, 35, daerah ini akan
hilang status lokasi pelancongan sekiranya aktiviti pencerobohan tanah
pertanian haram terus berleluasa.
Beliau yang merupakan anak jati
daerah ini mendakwa, apa yang berlaku di daerah ini adalah disebabkan perbuatan
rasuah oleh beberapa kakitangan agensi awam yang tidak bertanggungjawab.
“Apa yang saya kesalkan ialah
tiada tindakan diambil oleh kerajaan negeri terhadap perkara ini. Sejak berlakunya
tragedi banjir kilat tahun lalu, jumlah penerokaan tanah pertanian haram bukan
sahaja tidak berkurang, malah bertambah setiap hari.
“Ahli Parlimen pula seperti
tidak membantu dalam isu ini sehinggakan penduduk di sini berasa sangat kecewa.
Dulu pun berlaku hujan lebat, tetapi tidak terjadi bencana seperti hari ini,”
jelas beliau.
No comments:
Post a Comment