Kuala Lumpur: Penjaring
terbanyak Liga Super 2014, Paulo Rangel menolak hasrat Timbalan Presiden
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad untuk melunaskan bayaran
penuh kepadanya hujung bulan ini dengan penyerang import dari Brazil itu
bertegas ia perlu diselesaikan minggu ini.
Rangel yang kini bercuti di
negaranya berkata, dia hanya memberikan tempoh hingga Khamis ini atau bertindak
membatalkan kontrak ditandatanganinya.
Terdahulu Rangel menerusi akaun
Twitter dan Instagram miliknya kelmarin, melahirkan rasa terkilan terhadap baki
bayaran yang masih belum dilunaskan kepadanya selepas melanjutkan kontrak
bersama Selangor pada Ogos lalu.
Namun Mokhtar menerusi satu
kenyataan beberapa jam selepas itu menegaskan, pihaknya sudah membayar
RM100,000 kepada Rangel sebagai bayaran ketika menandatangani kontrak manakala
baki RM200,000 akan dibayar hujung bulan ini dengan gaji bulan Oktober akan dibayar
pada minggu ini.
“Jika tiada bayaran gaji dan
bayaran ketika menandatangani kontrak menjelang Khamis ini, saya akan batalkan
kontrak. Saya tidak boleh tunggu hingga hujung bulan ini,” tegasnya.
Rangel bersetuju melanjutkan
kontrak hingga 2016 sebelum kancah Piala Malaysia bermula yang menyaksikan
Selangor terkandas pada suku akhir.
Dia membantu Selangor muncul
naib juara Liga Super selain muncul pemenang kasut emas dengan 16 gol.
Andai Rangel tekad meninggalkan
Selangor, ia pastinya memberikan tamparan hebat kepada pengendali Merah Kuning,
Mehmet Durakovic yang sentiasa mengharapkan sentuhan pemusnah penyerang itu
bagi meraih kemenangan.
Artikel ini disiarkan pada :
Isnin, 17 November 2014 @ 5:03 AM
RANGEL lanjut kontrak bersama
Selangor hingga 2016.
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/9535#sthash.Pz2iTpNY.dpuf
No comments:
Post a Comment