15 November 2014
Afandi Hamzah Afandi Hamzah
KOTA BHARU - Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) yakin skuad Harimau Malaya akan mempamerkan aksi terbaik
pada Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura dari 23 hingga 29
November ini.
Timbalan Presiden FAM, Datuk
Seri Afandi Hamzah berkata, masih terlalu awal untuk menilai kemampuan skuad
Harimau Malaya meskipun skuad itu tewas 3-0 kepada Syria dalam perlawanan
persahabatan Rabu lalu.
"Skuad Harimau Malaya
perlu diberi peluang dan terus disokong oleh peminat, perlawanan kedua
menentang Vietnam akan menjadi ujian kedua buat skuad itu.
"Saya berkeyakinan dengan
persiapan yang ada, skuad Harimau Malaya akan mempamerkan aksi terbaik
menjelang saingan Piala AFF Suzuki 2014," katanya kepada pemberita selepas
Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Kelantan Kali Ke-60 di sini, Sabtu.
Beliau berkata, peminat perlu
terus memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya supaya dapat mempamerkan
aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
"Saya seru peminat terus
beri sokongan kerana ia dapat membangkitkan semangat pemain untuk membawa
cabaran negara nanti," katanya.
Malaysia akan menentang Vietnam
pada aksi terakhir perlawanan persahabatan di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam,
Ahad ini.
Perlawanan berkenaan adalah
sebagai persiapan terakhir skuad Harimau Malaya sebelum beraksi pada Kumpulan B
Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 15.11.2014
No comments:
Post a Comment