Ad

Friday 14 November 2014

Menang ke atas Vietnam mampu pulih imej




DOLLAH (dua dari kanan) mempunyai ramuan terbaik buat skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Vietnam pada aksi persahabatan Ahad ini.

JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh kekal tenang biarpun berdepan kritikan hebat selepas tewas 0-3 kepada Syria pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

Sebaliknya, Dollah mengakui beliau masih percaya dengan kebolehan anak-anak buahnya untuk mempamerkan prestasi lebih positif dalam kempen Piala AFF Suzuki 2014 yang bakal membuka tirai pada 23 November depan.

Keyakinan bekas pengendali Pahang, Selangor dan Polis Diraja Malaysia itu hadir melepas menyaksikan pasukannya menjalani sesi latihan di atas padang rumput tiruan di Kluang, Johor baru-baru ini.

“Saya mahu pemain-pemain saya kembali mendapatkan rentak. Saya akui tugas jurulatih kebangsaan bukan mudah dan saya masih tidak sampai sebulan bersama pasukan ini.

“Saya nak buat satu ramuan yang terbaik. Saya percaya dalam latihan di Kluang (Johor), nampak banyak putik-putik (peningkatan prestasi) dan saya mahu perkara ini berterusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, baru-baru ini.

Sebelum ini, skuad kebangsaan dikecam hebat selepas tewas 0-3 kepada Syria dalam aksi pemanas badan di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

Pengkritik mula menganggap skuad Harimau Malaya dilihat tidak berpeluang untuk melangkah ke pusingan separuh akhir gara-gara persembahan hambar ketika menentang Syria.

Dalam perkembangan sama, Dollah mendedahkan, pasukannya telah bersedia untuk mencari ramuan terbaik ketika menentang Vietnam Ahad ini.

“Saya boleh nampak peningkatan ketara berlaku ketika dalam sesi latihan. Saya percaya mereka telah menunjukkan satu komitmen yang baik.

“Saya juga sedar bahawa Syria adalah pasukan lebih baik daripada kita tetapi tidak bermakna kami akan menyerah kalah tanpa melawan.

“Apa yang mustahak, saya berharap kami dapat membatasi jurang antara pasukan kita dan Syria serta Vietnam ketika kedua-dua pasukan ini bertemu selain mengharapkan ramuan pemain-pemain terbaik hadir di aksi pemanas badan itu,” ujarnya.

Dalam pada itu Dollah memberitahu, beliau akan mengumumkan senarai penuh 22 pemain skuad negara selepas perlawanan persahabatan menentang Vietnam hujung minggu ini.

Katanya, langkah itu kerana mahu menilai status kecederaan pemain sayap, R. Gopinathan dan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abd. Radzak.

“Khidmat Gopi dan Aidil memang kita perlukan tapi kalau cedera, saya terpaksa menggugurkan nama mereka. Jadi sebab itu, saya tidak berani untuk buat keputusan lebih awal,” ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3J6OKRpbuHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment