Ad

Tuesday 25 November 2014

Dollah mahu pemain elak kesilapan bila bertemu Thailand



 
Dollah mahu pemain elak kesilapan bila bertemu Thailand
SINGAPURA: Pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh memberi amaran kepada anak buahnya supaya mengelak daripada melakukan kesilapan apabila bertemu juara tiga kali, Thailand pada perlawanan kedua kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Jalan Besar, di sini, esok.

Katanya, beliau menyedari kekuatan pasukan 'Gajah Perang' itu yang semakin menyerlah dengan kemunculan banyak pemain muda berbakat pada setiap edisi kejohanan bola sepak dwitahunan itu.

"Perlawanan menentang Thailand pastinya sukar kerana mereka antara pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan kali ini tetapi kami sudah bersedia untuk berdepan mereka.

"Saya harap segala-galanya akan menjadi dan kita akan mempamerkan permainan terbaik menentang Thailand esok," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan, di sini hari ini.

Dollah juga menggesa anak buahnya supaya mengelak daripada mengutip sebarang kad seperti yang berlaku dalam aksi pembukaan menentang Myanmar, Ahad lepas, menyebabkan pemain tengah Gary Steven Robbat diarah keluar padang oleh pengadil dari Turkmenistan, Kurbanov Charymurat selepas dilayangkan dua kad kuning.

Sementara itu, penyerang veteran negara, Mohd Safee Sali yang dijangka berganding dengan Norshahrul Idlan Talaha pada aksi menentang Thailand esok, tekad membuktikan sentuhan magisnya belum hilang walaupun banyak menghabiskan masa di bangku simpanan.

Pemenang anugerah Kasut Emas pada edisi 2010 itu berkata masalah stamina bukan menjadi kebimbangannya, namun lebih kepada mendapatkan semula keyakinan diri selepas disisihkan dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ini.

"Saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri. Saya hanya datang (ke sini) untuk membantu pasukan negara mencapai keputusan positif.

"Alhamdulillah, semua berjalan lancar buat saya ketika ini dan lebih penting, saya bebas daripada sebarang kecederaan," kata penyerang kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu selepas sesi latihan skuad negara di venue berkenaan, hari ini.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Thailand, Kairung Threejagsang menggesa pemain mudanya untuk menggandakan usaha apabila bertemu Malaysia walaupun mereka adalah pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan berkenaan.

Beliau berkata, kemenangan ke atas pasukan Malaysia akan mencerahkan peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Kebanyakan pemain Malaysia terdiri daripada pemain muda dan berpengalaman, sama seperti kami, jadi kami perlu berhati-hati apabila berdepan mereka.

"Saya cukup yakin kami boleh mencatat satu lagi kemenangan jika mereka menampilkan prestasi yang sama ketika menentang Singapura sebelum ini," kata Kairung.

Juara bertahan, Singapura yang tumpas 1-2 kepada Thailand dalam perlawanan pembukaan di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub pada Ahad lepas, akan berdepan Myanmar pada perlawanan kedua di venue yang sama.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE 26.11.2014

No comments:

Post a Comment