15 November 2014
Annuar Musa
KEHADIRAN semula Tan Sri Annuar
Musa dalam pimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal
memberi perubahan besar kepada skuad The Red Warriors.
Timbalan Presiden Kafa, Datuk
Seri Affandi Hamzah berkata, kehadiran semula Annuar selepas digantung selama
dua setengah tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan merancakkan
lagi pembangunan bola sepak Kelantan.
"Secara jujurnya, kami
masih memerlukan Tan Sri untuk terus memimpin Kafa bagi memastikan kegemilangan
pasukan Kelantan terus kukuh pada musim akan datang.
"Buktinya, pada Kongres
Tahunan Kafa kita sebulat suara telah memilih beliau (Annuar) untuk terus kekal
memimpin persatuan bagi sesi 2014 hingga 2018," katanya kepada pemberita
selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Kelantan ke-60 di Kota Bharu,hari
ini.
Pada pemilihan tersebut Annuar
menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden manakala Affandi kekal sebagai
Timbalan Presiden selepas tidak dicabar.
Jawatan Naib Presiden untuk
sesi 2015-2018 menampilkan dua muka baharu iaitu Ahli Parlimen Tanah Merah,
Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf,
Mohd Nasir Hamzah manakala Datuk Rosmadi Ismail mengekalkan kedudukannya
sebelum ini.
Sementara itu Azman Ibrahim,
Azlan Yusof, Datuk Seri Sunny Ung, Datuk Abd Halim Ahmad, Datuk Wan Mohd Najib
Wan Mohamad, Mohamad Zolkifli Omar, Mohammad Yusri Ismail, Datuk Mohd Rosdi Abd
Aziz, Ruhaled Ab Hamid dan Datuk Abdullah Mat Yasin dipilih untuk menjawat
jawatan Anggota Jawatankuasa Eksekutif Kafa.
Pemilihan bagi jawatan
tertinggi Kafa pada kali ini berlangsung dalam suasana harmoni tanpa sebarang
pertandingan.
Mengulas tentang perkara itu,
Affandi berkata, situasi tersebut membuktikan perpaduan utuh dalam kalangan
anggota majlis Kafa yang bekerjasama bagi melihat pasukan Kelantan terus
berjaya.
Katanya kehadiran muka baharu
dijangka memperkasakan lagi bola sepak Kelantan. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 15.11.2014
No comments:
Post a Comment