Ad

Sunday, 16 November 2014

England bangkit benam Slovenia 3-1, Rooney cipta rekod




LONDON: Wayne Rooney meraikan kejayaannya bergelar pemain termuda England meraih 100 kaps menerusi jaringan pada perlawanan Kelayakan Euro 2016 di Wembley menentang Slovenia, awal pagi tadi.

England merakamkan kemenangan 3-1 pada perlawanan itu dan sekalipun terlebih dulu ketinggalan, jaringan Rooney dan dua menerusi Danny Welbeck memastikan skuad bimbingan Roy Hodgson itu meraih tiga mata berharga.

Gol buat Rooney menerusi penalti pula menyaksikan penyerang Manchester United itu menyamai jumlah 44 gol dimiliki legenda, Jimmy Greaves selaku pemain ketiga terbanyak menjaringkan gol buat England.

"Ia hari yang baik akhirnya," kata Rooney kepada ITV. "Kami menampilkan karektor dan ia akan menjadi sesuatu yang baik buat kami di dalam pasukan. Sejak Piala Dunia, kami tidak pernah merasainya."

Ketika ini, hanya Gary Lineker (48 gol) dan Bobby Charlton (49 gol) memiliki jumlah gol lebih berbanding Rooney dan pemain berusia 29 tahun itu dijangka menjadi pemain Inggeris pertama meledak lebih 50 gol buat England.

Pada perlawanan terbabit, England nampak goyah pada babak pertama sebelum jaringan sendiri Jordan Henderson meletakkan Slovenia di depan pada minit ke-57.

Gol itu pantas membangkitkan semangat England dan menyamakan kedudukan menerusi penalti Rooney, dua minit kemudian sebelum penyerang Arsenal, Welbeck meledak dua gol kemenangan pada minit ke-65 dan 72.

"Ia benar-benar menyedarkan kami dan kami bangkit dan membuktikan betapa kuatnya kami," kata Rooney. - Reuters
 
PENYERANG England dan Manchester United, Wayne Rooney ketika perlawanan Kelayakan Euro 2016 menentang Slovenia di Wembley. England menang 3-1. - Foto AFP
sumber-Berita Harian online 
Ahad, 16 November 2014 

No comments:

Post a Comment