16 November 2014 12:25 AM
KOTA BHARU – Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) tetap optimis skuad kendalian Dollah Salleh mampu mempamer
persembahan terbaik dalam Kejohanan AFF 2014 di Singapura nanti.
Timbalan Presidennya, Datuk
Seri Affandi Hamzah berkata, kekalahan 0-3 kepada Syria dalam perlawanan
persahabatan Rabu lalu bukan ukuran sebenar kemampuan pasukan Harimau Malaya.
Menurutnya, perlawanan
persahabatan kedua menentang Vietnam hari ini akan menjadi ujian buat Dollah
dan diharapkan peminat terus memberi peluang kepadanya serta menyokong pasukan
negara.
“Saya yakin dengan persiapan
yang telah dijalankan skuad Harimau Malaya akan mempamer aksi terbaik dalam
Kejohanan AFF,” katanya kepada pemberita selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola
Sepak Kelantan Kali Ke-60 di sini semalam.
Harimau Malaya akan menentang
Vietnam dalam perlawanan persahabatan di Stadium My Dinh, Hanoi hari ini.
Perlawanan berkenaan adalah
sebagai persiapan terakhir Harimau Malaya sebelum beraksi dalam Kejohanan AFF
dari 23 hingga 29 November di Singapura.
Malaysia yang diundi dalam
Kumpulan B akan memulakan kempen kejohanan dengan berdepan Myanmar pada 23
November, diikuti pertemuan dengan Thailand di Stadium Jalan Besar.
Skuad negara akan menamatkan
aksi pusingan awal dengan menentang Singapura di Stadium Nasional pada 29
November.
Dua pasukan terbaik daripada
setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang diadakan mengikut format timbal
balik.
Vietnam yang menjadi tuan rumah
bersama pula diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Filipina, Indonesia dan Laos.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/beri-peluang-kepada-dollah-salleh-8211-fam-1.24994#sthash.8EHEWtaU.dpuf
No comments:
Post a Comment