Ad

Thursday, 6 November 2014

Tiga terbunuh, dua hilang



Tragedi tanah runtuh, banjir kilat di Cameron Highlands
Oleh ASLIZA MUSA dan SYUKRI SHAARI (utusanperak@utusan.com.my)  |  07 November 2014 2:58 AM
banjir
banjir

CAMERON HIGHLANDS 6 Nov. - Selepas setahun kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam yang mengorbankan empat nyawa, lokasi di sekitar kawasan ini sekali lagi menyaksikan korban terbaharu apabila tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 13 tahun maut dalam tragedi tanah runtuh dan banjir kilat, semalam.

Mangsa pertama yang merupakan warga Nepal, Md. Yousof Miya, 66, ditemui tertimbus selepas rumah kongsinya yang terletak di lereng bukit dekat Kampung Ulu Merah, Ringlet di sini dihempap runtuhan tanah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam semalam, mangsa yang bekerja di kebun sayur berhampiran gagal menyelamatkan diri dan mayatnya berjaya dibawa keluar dari kawasan runtuhan oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Zahari Wan Busu berkata, mayat seorang lagi mangsa, R. Tunesh yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Raja itu yang sebelum ini dilaporkan hilang semalam ditemui pada pukul 8.45 pagi hari ini.

Menurutnya, remaja itu ditemui oleh orang awam dan pasukan penyelamat kira-kira lima kilometer dari tempat mangsa dikatakan terjatuh ke dalam Sungai Telom, Kuala Terla pada pukul 9.30 malam, semalam.

Katanya, remaja itu dipercayai terjatuh ketika cuba menaikkan rakit yang menggunakan tong dram sebagai pelampung ke tebing Sungai Telom namun tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.

“Seorang lagi mangsa yang berjaya ditemui pada pukul 9.20 pagi ini adalah merupakan seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Hanipan Saroni, 48.

“Mangsa yang dipercayai cuba lari menyelamatkan diri ditemui dalam timbunan tanah sedalam satu meter di Kilometer 2.5 Jalan Ringlet - Koyan di sini, iaitu kira-kira tiga meter dari rumah kongsinya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan kehilangan dua individu yang dikatakan tertimbus di kebun sayur Sungai Kabok, Lembah Bertam, Wan Zahari berkata, sehingga pukul 5.30 petang, mangsa belum lagi ditemui.

Katanya, pasukan penyelamat juga telah menghentikan operasi mencari dua mangsa itu atas faktor cuaca hujan dan berlaku pergerakan tanah.

“Pencarian kita kini hanya tertumpu di kawasan berbukit itu yang menjadi rumah kongsi kepada pasangan terbabit.

“Setakat ini, kita belum mengetahui identiti mangsa dan hanya dimaklumkan mengenai kehilangan mereka oleh rakan,” katanya.

Katanya, operasi mencari akan diteruskan esok dengan dibantu oleh Unit Anjing Pengesan K9 polis dan bomba bagi mengesan mangsa di bawah runtuhan.

Dalam perkembangan berlainan beliau berkata, setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak 28 laporan berhubung kerugian akibat banjir kilat dan tanah runtuh daripada mangsa yang terlibat.

Hujan lebat yang turun semalam mengakibatkan berlaku kejadian banjir kilat di dua lokasi iaitu di Kuala Terla dan Kampung Baru, Ringlet di sini manakala banjir lumpur di Lembah Bertam terjadi selepas air dari Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat.

Kejadian itu menyebabkan sebanyak 20 buah rumah dan 20 buah kenderaan di Ringlet terjejas selain enam keluarga membabitkan 26 individu dikawasan itu serta 41 keluarga melibatkan 177 individu di Lembah Bertam diarahkan keluar daripada kediaman masing-masing.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/tiga-terbunuh-dua-hilang-1.21758#sthash.1sbhzEs8.dpuf

No comments:

Post a Comment