Ad

Tuesday, 25 November 2014

Jaga-jaga Thailand!



Harimau sedia mengaum,Safee kembali beraksi
26 November 2014 1:21 AM
SINGAPURA 24 NOVEMBER 2014 - Pemain Harimau Malaya, Safiq Rahim (dua kanan) bersama Mohd Azmi Muslim (kanan) menjalani latihan bagi persiapan perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 menentang Thailand Rabu ini, di Stadium Serangoon, di sini, hari ini. Gambar: Abdul Razak Latif / Pemberita: Dayne (Sukan) / Ahmad Fazli (Sukan Kosmo).
 
SINGAPURA - Selepas diketepikan daripada pertemuan menentang ­Myanmar, sentuhan pe­nyerang, Safee Sali mungkin ditagih pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh dalam usaha membentuk ramuan terbaik untuk menjinakkan Thailand pada aksi kedua Piala AFF di Stadium Jalan Besar, hari ini.

Turun dengan misi mencari tiga mata bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir, anak-anak buah Dollah berjanji untuk memberi tentangan terbaik bagi menutup mulut pengkritik yang sudah banyak menjatuhkan hukuman sebelum Piala AFF bermula lagi.

Walaupun sekadar mengutip satu mata semasa bertemu Myanmar, Ahad lalu, Dollah berjanji akan memberi berhabis-habisan menentang skuad Gajah Putih tanpa mempedulikan reputasi yang dibawa juara tiga kali itu.

“Kami telah mengkaji kekuatan dan kelemahan Thailland semasa bertemu Singapura. Saya percaya sesuatu akan berlaku dalam perlawanan dengan mereka.

“Tidak dinafikan Thailand semakin baik dan saya akui mereka pasukan pilihan, namun itu tidak bermakna kami mahu mengalah.

“Mereka pantas kerana membariskan ramai pemain muda, dan itulah yang membawa mereka ke separuh akhir Sukan Asia di Incheon. Mereka juga akan dibantu beberapa pemain berpengalaman, jelas kami perlu berada di kemuncak prestasi jika mahu mengalahkan mereka,” kata Dollah.

Mengharapkan badi kad merah yang diterima dalam tiga perlawanan tidak berulang, Dollah me­negaskan, tiada dalam perancangannya mengarahkan pemain bermain secara fizikal ke atas lawan.

“Tidak pernah saya mengarahkan pemain bermain kasar, bukan senang untuk beraksi dengan 10 pemain dan saya harap kami dapat tamatkan permainan esok dengan 11 pemain,” katanya.

Dalam sesi latihan di Stadium Jalan Besar semalam, Dollah mencuba pelbagai strategi dengan meletakkan Safee di barisan serangan bersama Norshahrul Idlan Talaha, manakala Mohd. Amri Yahyah bertindak selaku sayap kanan.

Ada kemungkinan Indra Putra Mahayuddin diletak di sayap kiri, manakala gandingan pertahanan, Afif Amiruddin dan Mohd. Fadhli Shas kekal selepas beraksi cemerlang ketika berdepan Myanmar.

Sementara itu kapten Harimau Malaya, Shukor Adan berjanji tidak akan keciciran mata lagi bagi mendapatkan bekalan selesa sebelum melakukan perhitungan akhir de­ngan tuan rumah, Singapura pada Sabtu ini.

“Kami tidak boleh keciciran mata lagi. Walaupun Thailand tampil sebagai satu unit yang bagus, kami bakal gandakan persembahan.

“Moral kami masih tinggi, malah semakin bersemangat.

“Tunggu saja esok petang (hari ini) dan kami akan cuba memberi kejutan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jaga-jaga-thailand-1.29243#sthash.KYVTwyOl.dpuf

No comments:

Post a Comment